Tuesday, January 21, 2014

Kenangi ayah dlm doa kita. 

PESAN BONDA TENTANG AYAH:
( maaf tak tahu siapa pengarang asalnya - Dr Har dpt nukilan doa kudus ni forwarded dari Ustz Zul)

Anakku… 
Memang ayah tak mengandungmu..
Tapi,
Darahnya mengalir didarahmu. Darinya kau diwarisi namanya, kedermawanan & kerendahan hati.

Memang ayah tak melahirkanmu...
Tapi,
Suaranya-lah yang pertama mengantarkanmu pada Allah ketika kau lahir.

Memang ayah tak menyusuimu...
Tapi,
Dari keringatnyalah setiap suapan yang menjadi air susumu.
Ayah memang tak menjagaimu setiap saat...
Tapi,
Tahukah kau dalam do’anya tak pernah terlupa namamu disebutnya.

Tangisan ayah mungkin tak pernah kau dengar...
Kerana,
Dia ingin terlihat kuat agar kau tak ragu untuk berlindung di lengannya dan dadanya ketika merasa tak aman.

Pelukan ayahmu mungkin tak sehangat dan seerat Bonda..
Kerana, Cinta nya
dia takut tak sanggup melepaskanmu.

Ayah mu ingin kau kuatkan semangat agar ketika kami tiada kau sanggup menghadapi semua sendiri.

Bonda hanya ingin kau tahu...
Bahawa,
Cinta ayah kepadamu sama besarnya seperti cinta Bonda.



Anakku dari dirinya juga terdapat syurga bagimu.
Maka,
Hormati dan sayangi ayahmu..
Kasihi dan hargailah pengorbanannya

Jauh dilubok hatinya dia hanya ingin mampu membanggakan mu di mata Allah, menjadi penolong di Padang Mahsyar serta menjadi hijab dari api neraka.

Berbahagialah yang masih punya ibu dan ayah!

Saturday, January 18, 2014

PROSIDING KAJIAN TINDAKAN SAYA


MENINGKATKAN KEMAHIRAN MEMBEZAKAN ‘DARI’ DENGAN ‘DARIPADA’ MENGGUNAKAN PEMBELAJARAN KOPERATIF BAGI MURID TAHUN 4 DELIMA




ROZANA BINTI MOHD YUSOF


PROSIDING


INSTITUT PENDIDIKAN GURU
KAMPUS SULTAN ABDUL HALIM



DISEMBER  2013



MENINGKATKAN KEMAHIRAN MEMBEZAKAN ‘DARI’ DENGAN ‘DARIPADA’ MENGGUNAKAN PEMBELAJARAN KOPERATIF BAGI MURID TAHUN 4 DELIMA

Oleh:

Rozana binti Mohd Yusof
IPG Kampus Sultan Abdul Halim


Abstrak

Kajian ini bertujuan untuk  membantu meningkatkan kemahiran membezakan  kata sendi nama ‘dari’ dengan ‘daripada’ dalam pembelajaran koperatif bagi murid daripada Tahun 4 Delima Sekolah Kebangsaan Changkat Tin, Tanjong Tualang Perak. Kumpulan sasaran kajian saya ini melibatkan 12 orang murid yang terdiri daripada 6 orang lelaki dan 6 orang perempuan. Data dianalisis secara deskriptif.  Instrumen yang digunakan dalam kajian ini ialah Ujian 1, Ujian 2 dan hasil temu bual  dengan murid.  Hasil analisis data mendapati murid menunjukkan peningkatan.  Dalam Ujian 1, 7 orang pelajar lulus  manakala dalam Ujian 2 kesemua 12 orang telah lulus dengan 5 orang memperoleh markah cemerlang. Oleh itu, pengajaran koperatif ini boleh digunakan bagi meningkatkan kemahiran membezakan penggunaan kata sendi ‘dari’ dengan ‘daripada’ dalam ayat Bahasa Melayu.

  Kata kunci :  membezakan penggunaan ‘dari’ dengan ‘daripada’,  
                      menggunakan pembelajaran koperatif.


Pengenalan
Kata sendi nama adalah terdiri daripada golongan kata yang digunakan untuk menyambungkan frasa nama dengan kata atau frasa-frasa dalam ayat.  Kata sendi menunjukkan perkaitan antara satu frasa atau perkataan dengan frasa atau perkataan yang lain.  Menurut Tatabahasa Dewan edisi ketiga (2008) kata sendi bermaksud perkataan yang diletakkan di hadapan frasa nama dengan mempunyai tugas atau fungsi tertentu.
Penguasaan tatabahasa dengan baik adalah amat diperlukan untuk membolehkan kita  menggunakan bahasa dengan berkualiti sama ada dilahirkan secara pengucapan atau bertulis. Dalam bidang pendidikan, tatabahasa tidak lagi dilihat sebagai unsur terasing dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa, sebaliknya unsur asas yang mendasari setiap kemahiran berbahasa yang dipupuk iaitu mendengar, bertutur, membaca dan menulis (Awang Sariyan, 1991:754).  Selain itu, penulisan yang baik dengan tatabahasa yang betul dapat menampilkan imej seseorang lebih baik atau institusi yang berwibawa.  Kesalahan dalam penggunaan kata sendi merupakan salah satu daripada kesalahan tatabahasa yang sering didapati.  Antara kata sendi yang menjadi masalah ialah kata sendi ‘dari’ dan ‘daripada’ yang mana setiap satu membawa maksud yang berbeza.

Menurut Za’ba (2000), ada beberapa kata sendi nama yang digunakan secara salah, antaranya termasuklah ‘dari’ dan ‘daripada’.  Kesalahan tatabahasa ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan murid di bilik darjah tetapi juga orang dewasa.  Ini disebabkan ramai yang masih belum dapat menguasai rumus-rumus tatabahasa yang telah dipelajari.  Masalah ini menjadi lebih serius jika tidak diberi perhatian.  Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi akan dicemari.

Fokus Kajian
Kajian ini telah difokuskan pada masalah membezakan kata sendi ‘dari’ dengan ‘daripada’ dalam ayat.  Ini disebabkan dalam kalangan murid Empat Delima didapati kerap melakukan kesilapan akibat kekeliruan apabila membina ayat yang mengandungi kata sendi ‘dari’ dan ‘daripada’.  Murid tidak dapat membezakan sama ada ingin menggunakan kata sendi ‘dari’ ataupun ‘daripada’.  Contoh kesilapan yang dilakukan seperti ‘daripada Ipoh’, ‘dari ayah’ dan ‘daripada semalam’.

Objektif Kajian
a.       Objektif Umum

       Meningkatkan kemahiran membezakan penggunaan kata sendi ‘dari’ dengan ‘daripada’ dalam ayat bahasa Melayu.


b.       Objektif Khusus

1.      Meningkatkan kemahiran membezakan kata sendi ‘dari’ dan ‘daripada’ menggunakan pembelajaran koperatif.

Soalan Kajian
  1. Adakah kaedah pembelajaran koperatif dapat meningkatkan kemahiran membezakan kata sendi ‘dari’ dan ‘daripada’?



Tinjauan Literatur

        Pembelajaran koperatif ialah satu proses pembelajaran yang melibatkan pelajar yang belajar dalam kumpulan kecil.  Setiap pelajar dalam kumpulan ini dikehendaki bekerjasama untuk memperlengkapkan dan memperluaskan pembelajaran diri sendiri dan juga ahli yang lain. (Esah Sulaiman, 2004)

Menurut Gardner (2002), kaedah belajar secara berkumpulan merupakan kaedah yang sangat berguna dalam strategi pengajaran dan pembelajaran.  Kumpulan belajar yang distruktur dengan baik adalah sangat efektif untuk mencapai bilik darjah yang inklusif.

       Manakala Slavin (Isjoni,2006) pula ada mengatakan bahawa koperatif adalah suatu model pembelajaran di mana kanak-kanak belajar dan bekerjasama dalam kelompok-kelompok kecil secara kerjasama yang anggotanya 4-6 orang dengan struktur kelompok heterogen.

Pembelajaran koperatif pada dasarnya percaya bahawa pembelajaran menjadi sangat efektif apabila pelajar terlibat secara aktif dalam berkongsi idea dan bekerja secara koperatif dalam menyudahkan tugasan akademik (Effendi Zakaria & Zanaton Iksan,2007).  Pendapat ini turut disokong oleh Johnson dan Johnson (1991) yang mengatakan pembelajaran koperatif melibatkan pelajar bekerjasama dalam mencapai objektif pelajaran.

Za’ba (2000) menyatakan,“Ada beberapa perkataan kata sendi nama yang orang-orang kerap tersilap memakainya, antaranya termasuklah ‘dari’ dan ‘daripada’ tidak betul mengikut kehendak resaman bahasa Melayu, terutama dalam karangan”.

       Demikian juga Awang Sariyan (1981) mendapati bahawa terdapat beberapa kata sendi nama yang sering digunakan dengan salah iaitu antaranya ‘dari’ dan ‘daripada’.
Metadologi Kajian
Kumpulan Sasaran

Kumpulan sasaran adalah seramai dua belas orang yang terdiri daripada murid Tahun 4 Delima.  Peserta kajian terdiri daripada enam orang lelaki dan enam orang perempuan. Mereka mempunyai purata umur dalam lingkungan sepuluh tahun.  Prestasi akademik peserta kajian berada di tahap sederhana dan lemah.  Semua peserta kajian terdiri daripada bangsa Melayu dan tinggal di kawasan kejiranan berhampiran dengan sekolah.

Cara Pengumpulan Data
Ujian 1 dan Ujian 2

Ujian 1 dijalankan sebelum memulakan sebarang tindakan dan bertujuan untuk mengesan masalah kata sendi ‘dari’ dan ‘daripada’ yang dihadapi.  Manakala, Ujian 2 dijalankan selepas selesai semua tindakan dan bertujuan untuk menentukan penggunaan akronim dalam pembelajaran koperatif dapat  membezakan kata sendi ‘dari’ dengan ‘daripada’.  Soalan-soalan yang dibina dalam Ujian 2 adalah soalan yang sama dengan Ujian 1.

Temu bual

Temu bual dijalankan sebelum dan selepas tindakan dijalankan. Temu bual ini bertujuan untuk mengetahui kemahiran peserta kajian menggunakan kata sendi nama ‘dari’ dan ‘daripada’ menggunakan pembelajaran koperatif.


     Pelaksanaan Tindakan
AKTIVITI
MODEL
KURT LEWIN
Ujian Diagnostik iaitu keputusan  ujian pertengahan tahun
Tinjauan Awal
Membuat analisis tentang dapatan ujian diagnostik dan mengesan  masalah.
Mereflek
Ujian 1 dan  memilih peserta kajian yang bermasalah. Membuat  temu bual awal .

Merancang
Mengajar kata sendi  ‘dari’ yang digunakan untuk menerangkan ‘masa’, ‘arah’ dan ‘tempat’.
Bertindak
Mengajar kata sendi  ‘daripada’ yang digunakan untuk menerangkan ‘sumber’, ‘perbandingan’, dan ‘manusia, haiwan atau benda’.
Membezakan kata sendi  ‘dari’ dengan ‘daripada’ dengan menggunakan peta minda.
Ujian 2 dan membuat temu bual ke atas peserta kajian.
Analisis Data
Membuat rumusan dan perbincangan


Tindakan 1- Ujian 1 dan temu bual

Ujian 1 dijalankan untuk melihat sejauh mana pengetahuan peserta kajian tentang kata sendi ‘dari’ dan ‘daripada’.  Pengkaji telah menjalankan Ujian 1 yang mengandungi 25 soalan daripada tiga bahagian iaitu  bahagian A memilih jawapan yang betul, bahagian B soalan aneka pilihan, manakala bahagian C mengisi tempat kosong dengan kata sendi nama ‘dari’ atau ‘daripada’  Seramai dua puluh satu orang murid telah membuat ujian ini dan pengkaji telah mengenal pasti dua belas orang murid untuk dijadikan sebagai peserta kajian.  Markah peserta kajian direkodkan.  Pengkaji membuat temu bual awal dengan peserta kajian.

Tindakan 2 – kata sendi ‘dari’

Pengajaran dijalankan secara pembelajaran koperatif menggunakan aktiviti jigsaw dan meja bulat.  Penerangan tentang kata sendi ‘dari’ yang menunjukkan masa..  Menegaskan penggunaan huruf M untuk menunjukkan masa.  Seterusnya diperkenalkan pula kata sendi ‘dari’ yang menerangkan arah dan tempat.  Pengkaji menegaskan penggunaan huruf A untuk menunjukkan arah dan T untuk menunjukkan tempat.  Pada akhir pengajaran, pengkaji menegaskan semula tentang pengunaan kata sendi ‘dari’ yang menggunakan huruf iaitu M untuk masa, A untuk arah dan T untuk tempat.  Maka bagi kata sendi ‘dari’ peserta kajian hanya ingatkan akronim ‘MAT’ sahaja. Pengajaran dijalankan selama dua hari.

Tindakan 3 – kata sendi ‘daripada’

Pengajaran dijalankan secara pembelajaran koperatif menggunakan aktiviti pembelajaran bersama dan meja bulat.  Pengkaji menerangkan tentang penggunaan ‘daripada’ yang menunjukkan perbandingan.  Menegaskan tentang penggunaan P untuk perbandingan. Seterusnya, penggunaan ‘daripada’ yang menunjukkan manusia,haiwan dan benda dan penegasan pada huruf M yang melambangkan manusia. Akhir sekali, penggunaan ‘daripada’ yang digunakan untuk sumber semula jadi.  Penegasan huruf S untuk sumber. Pada akhir pengajaran, pengkaji menegaskan semula tentang penggunaan kata sendi ‘daripada’ menggunakan huruf S untuk sumber, P menerangkan perbandingan dan M menunjukkan manusia.  Maka bagi kata sendi ‘daripada’ peserta kajian hanya ingatkan akronim ‘SPM’ sahaja.  Pengajaran dijalan selama tiga hari.


Tindakan 4 – membezakan kata sendi ‘dari’ dengan ‘daripada’

Dengan menggunakan peta minda, pengkaji menguji penguasaan peserta kajian dalam membezakan penggunaan kata sendi ‘dari’ dengan ‘daripada’.  Menerangkan cara mudah untuk peserta kajian mengingat penggunaan ‘dari’ dengan ‘daripada’ iaitu menggunakan akronim “MAT’ untuk ‘dari’ dan ‘SPM’ untuk ‘daripada’.  Sepanjang sesi pengajaran pengkaji menggunakan pembelajaran koperatif bagi aktiviti meja bulat.

Tindakan 5 – Ujian 2 dan temu bual

Ujian 2 dijalankan dengan soalan yang sama dengan Ujian 1.  Tujuan dijalankan Ujian 2 ini adalah untuk menilai kemampuan peserta kajian dalam membezakan kata sendi ‘dari’ dengan ‘daripada’, setelah menjalani enam sesi pengajaran dengan menggunakan kaedah pembelajaran koperatif.  Pengkaji menjalankan temu bual bersama peserta kajian.  Data-data yang dikumpul dan dianalisis bagi membolehkan penambahbaikan dan juga penyelesaian yang baru dapat dijalankan.



Dapatan Kajian

Soalan Kajian 1 : Adakah kaedah pembelajaran koperatif dapat meningkatkan kemahiran membezakan kata sendi ‘dari’ dan ‘daripada’?

Peserta kajian dapat meningkatkan kemahiran dalam kata sendi ‘dari’ dan ‘daripada’ dengan baik. Pengkaji menggunakan pembelajaran koperatif dalam pengajarannya.  Ini dapat dilihat dalam aktiviti yang dijalankan sepanjang pengajaran kata sendi ‘dari’dan ‘daripada’ dan peserta kajian telah menunjukkan peningkatan yang baik. Mok (1990) menyatakan pembelajaran secara bekerjasama dalam kumpulan dapat meningkatkan lagi motivasi belajar murid, di mana ia mempunyai beberapa kelebihan.  Setiap aktiviti pengajaran dilekatkan dalam buku ‘Mari Fikir Bersama’.  Antara aktiviti yang dijalankan dan yang terdapat dalam buku ‘Mari Fikir Bersama’ adalah seperti:


               
       
  
Aktiviti kajian dijalankan secara berperingkat-peringkat. .Menurut Gagne, (1986,dalam Boon Pong Ying,2009) pemeringkatan pembelajaran penting bagi membantu dengan menyusun peringkat pembelajaran daripada peringkat asas kepada peringkat lebih kompleks. Oleh yang demikian, bagi menjalani setiap peringkat, murid sangat memerlukan satu medium yang boleh menjadi pemangkin dalam proses pembelajaran berperingkat tersebut.  Dapatan ini menunjukkan kaedah yang digunakan oleh pengkaji bagi meningkatkan kemahiran kata sendi ‘dari’ dan ‘daripada’ begitu berkesan.  Ini diperkuatkan dengan temu bual yang telah dijalankan kepada peserta kajian.  

Jika dilihat daripada temu bual yang telah dijalankan didapati bahawa peserta kajian lebih mudah memahami kemahiran yang diajar dengan menggunakan kaedah koperatif. Ini dapat dilihat dalam Jadual 1 di mana peserta kajian sebahagian besar telah menguasai penggunaan kata sendi dari’ dengan ‘daripada’.  Dalam Rajah 1 pula 100% peserta kajian suka belajar secara berkumpulan berbanding secara individu.  Ini jelas menunjukkan bahawa pembelajaran koperatif ini dapat meningkatkan penguasaan peserta kajian dan menimbulkan keseronokan kepada mereka.  Peserta kajian dapat belajar dan menjalankan aktiviti bersama-sama ahli kumpulan.  Menurut Sandra dan Shickley (2006) , pelajar seronok dapat peluang untuk belajar dalam kumpulan.  Selain itu, peserta kajian juga dapat bekerjasama dan melahirkan idea-idea dengan berkesan.
Jadual 1
Dapatan catatan mengenai temu bual yang dijalankan

Soalan (Aspek)

Catatan

Soalan 1
(Minat/faham)

§  11/12 orang peserta kajian mengatakan ya, mereka minat dan faham apa yang guru ajar.
§  1/12 orang murid mengatakan tidak minat

Soalan 2
(Minat/suka pembelajaran melalui aktiviti kumpulan)

§  Kesemua 12 orang peserta kajian  mengatakan ya mereka minat dengan  pembelajaran melalui aktiviti     koperatif  atau  berkumpulan.

Soalan 3    (Pemahaman/kerjasama
rakan-rakan)     
                                                       

§  Kesemua 12 orang peserta kajian mengatakan ya mereka setuju bantuan  rakan dapat meningkatkan kemahiran kata sendi ‘dari’ dan ‘daripada’ menggunakan akronim MAT dan SPM.

 Soalan 4
  (Pemahaman maksud MAT dan SPM/ seronok melalui aktiviti berkumpulan)


§  10/12 orang peserta kajian mengatakan ya mereka seronok belajar secara berkumpulan  dan faham apa yang  dimaksudkan dengan istilah MAT dan SPM.
·         2/12 daripada  peserta kajian menyatakan tidak  pasti.


  Soalan 5
(cara pengajaran guru                   
membantu dalam menjawab soalan kata sendi nama.)

§  10/12 daripada peserta kajian mengatakan ya, pengajaran guru boleh membantu meningkatkan pemahaman  dalam   kata sendi   ‘dari’ dengan ‘daripada’.
§  2/12 orang mengatakan tidak kerana kurang pasti dapat mengaplikasikannya semasa menjawab soalan.
         Rajah 1. Dapatan Temu Bual Selepas Tindakan


Dapatan kajian juga menunjukkan peserta kajian dapat memahami, mengingat dan meningkatkan kemahiran mereka tentang perbezaan penggunaan kata sendi ‘dari’ dan ‘daripada’ dalam ayat bahasa Melayu dengan menjalankan pembelajaran koperatif seperti yang telah pengkaji laksanakan.  Ini dapat dilihat dalam Rajah 2 yang merupakan hasil dapatan Ujian 1 dan Ujian 2 yang menunjukkan peningkatan.  Selain itu perbandingan markah seperti dalam Jadual 2 di bawah jelas menunjukkan pembelajaran koperatif yang digunakan oleh pengkaji dapat meningkatkan penguasaan peserta kajian dalam membezakan penggunaan ‘dari’ dan ‘daripada’.  Dapatan ini selari dengan pandangan Simah Mamat (2009) yang mengatakan kekuatan kaedah pembelajaran koperatif ini dapat memotivasikan serta dapat memberikan keseronokan kepada pelajar dan pada masa yang sama pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar.  Keseluruhan aktiviti membolehkan mereka bergerak dan mengaktifkan bilik darjah serta dapat menceriakan suasana pengajaran dan pembelajaran.

     
Rajah 2.  Dapatan Ujian 1 dan Ujian 2


Jadual 2.
     Perbandingan peratusan keputusan Ujian 1 dan Ujian 2
__________________________________________________________________            ___
Pencapaian       Ujian 1          Peratus          Ujian 2                 Peratus       PerbezaanPeratus
                      (bil. murid)         (%)          (bil. murid)                (%)          tambah(+)/turun(-)
____________________________________________________________                          __
  Cemerlang
  80%-100           0                        0                   5                        41.7                    +41.7
     Baik
60% - 79%          1                       8.3                5                         41.7                   +33.4
  Sederhana
  40% -59%         6                      50.0               2                         16.7                    -33.3
    Tidak
  Memuaskan       5                      41.7               0                           0                       -41.7
   20%-39%
Lemah
0%-19                  0                       0                   0                          0                           0


Jika dilihat daripada markah yang diperoleh dalam Ujian 1 dan Ujian 2 terdapat perbezaan yang agak ketara. Di mana peserta kajian dinilai daripada skala pencapaian iaitu cemerlang, baik, sederhana, tidak memuaskan dan lemah. Jumlah peserta kajian yang lulus dalam Ujian 1 ialah seramai 7 orang dan peratusan  adalah sebanyak 58.3%. Manakala jika dibandingkan dengan Ujian 2 seramai 12 orang dan peratusan lulus sebanyak 100%. Penambahan peningkatan sebanyak  41.7%.

Kejayaan penggunaan pembelajaran koperatif ini dapat dilihat juga dalam kajian Klimovien,et.al.(2006) di mana melalui kajian yang dijalankan didapati keputusan pelajarnya meningkat daripada 32 orang (35%) kepada 57 orang (63%) setelah pembelajaran koperatif digunakan. Menerusi kajian ini, mereka telah membuat kesimpulan bahawa pelajar yang menguasai pembelajaran secara koperatif secara tidak langsung akan menguasai kemahiran berfikir secara kritis.


Refleksi


Kajian ini dijalankan adalah bertujuan untuk meningkatkan kemahiran peserta kajian dalam membezakan kata sendi ‘dari’ dengan’ daripada’ dengan menggunakan pembelajaran koperatif. Secara keseluruhan, kajian ini telah mencapai objektif.  Keputusan yang diperoleh menunjukkan peningkatan iaitu daripada 58.3% kepada 100%. Menerusi temu bual dan ujian yang dijalankan telah menunjukkan perubahan positif oleh kebanyakan peserta kajian.  Peserta kajian tertarik dan lebih cenderung melakukan aktiviti kumpulan berbanding pembelajaran sehala atau berpusatkan guru.  Peningkatan ini telah dijadikan sebagai kayu ukur penggunaan keadah pembelajaran koperatif telah mampu meningkatkan penguasaan membezakan penggunaan kata sendi ‘dari’ dan ‘daripada’ dalam ayat bahasa Melayu.  Namun masih ada peserta kajian yang memerlukan bimbingan. Terdapat dua orang peserta kajian yang masih di tahap sederhana dan agak lambat. Walau bagaimanapun, kerjasama daripada rakan sekumpulan telah banyak mengubah mereka menjadi lebih aktif dan berkeyakinan.



Cadangan Kajian Seterusnya


Dalam mengembangkan lagi tahap keyakinan kendiri murid, pengkaji ingin mencadangkan menggunakan kaedah pembelajaran koperatif “Think –Pair-Share”.  Kaedah yang pengkaji ingin cadangkan ini seakan-akan kaedah yang pengkaji gunakan dalam kajian ini, tetapi terdapat sedikit penambahbaikan dari segi penglibatan beberapa orang murid yang kurang aktif.  Contohnya, dalam kumpulan berempat, murid dipecahkan kepada dua pasangan.  Murid dikehendaki berbincang dengan pasangan.  Seterusnya, perbincangan secara kumpulan pula dijalankan. Pengkaji juga merasakan kaedah pembelajaran koperatif “Think –Pair-Share” ini adalah sesuai sebagai kesinambungan daripada penggunaan pembelajaran koperatif yang telah dijalankan.
        Melalui kaedah ini, dapat mengalakkan murid berkongsi idea dengan rakan sepasukan sebelum menjawab soalan yang dikemukakan. Selepas perbincangan dengan pasangan, murid akan berbincang dan berkongsi jawapan dengan murid lain dalam kumpulan.

Kesimpulan
Kesimpulannya, pengkaji berjaya mencapai kedua-dua objektif yang dinyatakan dalam kajian ini.  Tindakan yang dijalankan telah berjaya meningkatkan kemahiran peserta kajian dalam membezakan penggunaan ‘dari’ dan ‘daripada’. Kajian tindakan yang telah dilaksanakan ini telah memberi kesan yang baik dan positif terhadap peserta kajian. Kaedah pembelajaran koperatif telah dapat membantu peserta kajian membuat hubung kait antara perbezaan kata sendi ‘dari’ dengan ‘daripada’ dan merealisasikan dalam ayat mengikut struktur yang betul semasa sesi pembelajaran dan pengajaran. Kajian ini juga dapat membantu guru dalam memastikan setiap pembelajaran yang dirancang berjaya dicapai oleh semua murid. Pengkaji berharap semoga kajian pengkaji ini dapat memberi manfaat yang berterusan kepada pengkaji dan pembaca-pembaca yang lain.   



















Rujukan
Arbak Othman.(1981).Tatabahasa Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Sarjana Enterprise.

Awang Sariyan.(1981).Kesalahan Umum Penggunaan Bahasa Malaysia Edisi Permulaan.   
              Kuala Lumpur: Penerbit Sarjana Enterprise.

Awang Sariyan.(1991).Bahan Pengajaran Tatabahasa Secara Terancang dalam Pendidikan
             Bahasa Melayu. Jurnal Dewan  Bahasa 35(9), 754-785.

Effandi Zakaria & Zanaton Iksan.(2007).Promoting Cooperative Learning in Science and
            Mathematics Education: A Malaysian Perspective.Eurasia Journal of Mathematics,
            Science &Technology Education,3(1),35-39.

Esah Sulaiman.(2004).Pengenalan Pedagogi. Selangor:Penerbitan UTM.

Gardner,P.(2002).Strategies and Resources for Teaching and Learning in Inclusive
             Classroom. Landon:David Fulton Publishers.

Isjoni, I.(2006).Pendidkan Sebagai Investasi Masa Depan. Jakarta, Indonesia: Yayasan Obor.

Ismail Said.(2009).Kaedah Pemelajaran Koperatif Sekolah Rendah. Shah Alam: Karisma Publications Sdn. Bhd.

Izani Haji Daud.(2002).Bahasa dalam Kalangan Kanak-kanak Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Dewan , Edisi Keempat.(2005).Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mok Soon Sang.(1992).Pemulihan, Pengayaan dan Isu Pendidikan. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman.

Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Haji Musa, Abdul Hamid Mahmood.(2008). Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga,Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Roselan Baki.(2003).Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa  Melayu, Kuala
                Lumpur: Karisma Publication Sdn. Bhd.

 Simah Mamat.(2009).Diterima pada  2013 Februari 2.

         Snyder & Sandra S.(2006).“Cooperative Learning Group in the Middle School  Mathematics
                        Classroom”, Action Research Projects, Paper 30 
                        http://digitalcommons.unl.edu/mathmidactionresearch/30

         Zainal Abidin Ahmad.(1962).Ilmu Mengarang Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
                         Pustaka.


Zainal Abidin Ahmad.(2000).Pelita Bahasa Melayu Penggal 1 – lll. Petaling Jaya: Sasyaz Holdings Sdn. Bhd.