Monday, September 26, 2011

Assighment Bhg D : Kekangan Yang Perlu Dihadapi Oleh Guru Bagi Merealisasikan Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa Melayu Melalui TMK Dan Cara-Cara Mengatasinya.

                                                                            PENGENALAN

“Pendidikan bertaraf dunia” sebagai wacana dalam dasar pendidikan negara meletakkan proses pendidikan sebagai satu bidang yang penting dalam kehidupan seharian khususnya di sekolah-sekolah yang berfungsi sebagai institusi perkembangan ilmu. Pengiktirafan yang diberikan terhadap bidang pendidikan membawa satu implikasi dan impak yang serius terhadap profesion perguruan yang secara langsung terlibat dalam sistem penyampaian ilmu. Pendidikan bertaraf dunia mempunyai wawasan ke arah melahirkan generasi yang mengamalkan budaya fikir, kritis, kreatif dan inovatif. Hanya manusia yang berbudaya fikiran dapat bersaing di medan antarabangsa serta menjana idea ke arah pembangunan tamadun ilmu, masyarakat, budaya, bangsa dan negara.

Penggunaan teknologi maklumat dalam kehidupan pada masa kini telah menjadi suatu yang penting dan sangat diperlukan. Teknologi maklumat juga dapat membantu dan memudahkan manusia melakukan sesuatu perkara. Penggunaan teknologi pada abad ke 21 ini dapat dilihat semakin meluas sama ada dalam bidang perniagaan, pembangunan malah kini yang menjadi tumpuan adalah penggunaan teknologi maklumat dalam bidang pendidikan. Kerajaan kini memandang serius berkenaan pengintegrasian teknologi maklumat dalam pendidikan melalui matapelajaran yang diajar. Dengan penggunaan teknologi maklumat secara menyeluruh mampu meningkatkan tahap kemahiran pelajar-pelajar untuk mendapat maklumat dengan berkesan. Hjetland (1995) menyatakan bahawa:

           “Technology can make our lives easier. Everyday tasks are simplified”.

Beliau juga menyatakan bagaimana teknologi dapat mempermudah tugas serta meningkatkan prestasi guru seperti penggunaan teknologi untuk kerja-kerja pengurusan dan kerja-kerja pengajaran dan  pembelajaran.


Tahun 2004 bukan sahaja berkehendakkan manusia mengamalkan budaya fikir tetapi bersama-sama menggabungkan penggunaan teknologi dalam sebarang bentuk tindakan. Perkembangan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta penggunaan komputer dalam bidang pendidikan menjadikan ilmu lebih mudah diakses, disebar dan disimpan. Manakala kecanggihan serta kemampuannya menyampaikan sesuatu maklumat secara cepat, tepat dan menarik dalam bentuk multimedia menjadikannya sebagai satu daya tarikan ke arah mewujudkan satu senario belajar yang lebih menyeronokkan.


Dalam hal ini profesion perguruan pada alaf baru ini haruslah mampu menguasai dan menggabungkan kemahiran-kemahiran yang berkaitan untuk melahirkan satu bentuk pendidikan yang lebih bermakna dan bestari. Walau bagaimanapun dalam bidang pendidikan sekarang, kecanggihan teknologi melalui persembahan multimedianya bukanlah hanya faktor yang boleh menjadikan proses pembelajaran itu berkesan. Keberkesanan dan kebestarian sesuatu pengajaran itu masih banyak bergantung pada faktor manusia iaitu guru yang membuat perancangan. Teknologi hanyalah sebagai faktor pemangkin ke arah mempercepat proses keberkesanannya, manakala kemahiran dari aspek pedagogi serta psikologi adalah diperlukan.


Namun begitu, terdapat kajian yang membuktikan bahawa kesediaan guru menggunakan teknologi maklumat di dalam pengajaran bahasa ke atas 392 orang guru bahasa menunjukkan majoritinya guru-guru masih takut untuk menggunakan komputer dalam pengajarannya. Aplikasi komputer yang kurang dalam pengajaran bahasa di sekolah-sekolah adalah disebabkan guru-guru tidak mempunyai kemahiran dan latihan yang secukupnya. Dengan ini, kerajaan perlu melipat gandakan usaha menangani masalah tersebut terutama di kalangan guru-guru.

Dalam menjayakan penggunaan teknologi maklumat dalam proses pengajaran dan pembelajaran, memerlukan gandingan semua pihak sama ada pihak sekolah mahu pun pihak masyarakat. Di sekolah, guru terutamanya perlu yakin bahawa terdapat banyak kebaikan dan kepentingan penggunaan ICT atau teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran. Guru juga perlu mempelajari serta diberikan kemahiran yang mencukupi untuk menggunakan peralatan ICT secara cekap dan efektif. Kebanyakan sekolah-sekolah yang mempunyai guru-guru yang telah lama berkhidmat, terdiri daripada mereka yang masih berada di tahap ‘perlu belajar’ dan ‘perlu bimbingan’ untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam ICT. Pengetahuan dan kemahiran dalam ICT tidak menjamin pengintergrasiannya dalam kurikulum dan juga pengajaran. Justeru, adalah penting bagi guru-guru untuk membuat persediaan yang mencukupi agar dapat memenuhi tuntutan dan jangkaan masyarakat untuk menggabungkan ICT dalam pengajaran. Keyakinan dan efikasi yang tinggi membantu mempermudah proses peningkatan kemahiran dalam pelaksanaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran.


Sebenarnya, kemajuan pesat dalam bidang teknologi maklumat telah membawa banyak perubahan terhadap kaedah pengajaran bahasa. Daripada kaedah konvensional di dalam bilik darjah ke pengajaran bahasa di alam siber. Dengan kaedah baru ini,  para pendidik bahasa dapat berkomunikasi dan mengajar melalui komputer yang dihubungkan dengan modem dan perisian komunikasi. Melalui internet, penggunaan bahasa Melayu melewati batas geografi dan waktu. Hal ini demikian kerana internet merupakan satu jaringan antarabangsa yang menghubungkan lebih 30 000 jaringan di lebih 100 buah negara. Internet kini mempunyai lebih 20 juta pengguna di seluruh dunia dan bilangan pengguna ini semakin bertambah dengan penurunan harga komputer dan perisian komunikasi (Laudon, Traver dan Laudon 1996). Memandang bahawa penggunaan teknologi maklumat ini masih baru dalam sistem pendidikan di Malaysia, para pendidik bahasa perlu mempunyai literasi teknologi dan memahami keperluan komunikasi secara
global. Hal ini dapat membantu para pendidik menerapkan kaedah ini dengan berkesan.

                                                                APAKAH ITU KOMPUTER?

Komputer boleh ditakrifkan sebagai satu alat yang boleh menerima maklumat, menggunakan beberapa prosedur pemprosesan dan mengemukakan hasil maklumat baru dalam bentuk yang sesuai kepada penggunanya. Kebanyakan komputer elektronik moden, terutama sekali komputer yang digunakan untuk tujuan pendidikan, merupakan komputer digital. Apa yang dimaksudkan komputer digital ialah maklumat yang ada ditukar kepada bentuk digital ( iaitu kepada satu kod yang berasaskan kepada sistem nombor dwi, yang hanya menggunakan dua simbol iaitu 0 dan 1) sebelum diproses. Komputer yang direka bentuk untuk mengendalikan data yang tidak ditukar kepada bentuk digital dikenal sebagai komputer analog, dan banyak digunakan untuk tujuan saintifik atau teknikal yang khusus.


                                           SEJARAH DAN PERKEMBANGAN KOMPUTER.

Pembelajaran berkesan adalah pembelajaran yang menyeronokkan. Keseronokan belajar adalah sesuatu yang diharapkan oleh semua golongan guru terhadap pelajar-pelajarnya. Keseronokan membawa implikasi pelajar tertarik dan berminat hendak belajar, manakala guru pula mempunyai strategi yang boleh mendorong pelajar-pelajarinya memberi tumpuan serta mengambil bahagian yang menyeluruh dalam proses pengajaran pembelajaran.


Situasi ini dapat diwujudkan sekiranya guru dapat menyampaikan pengajarannya dengan bantuan media pengajaran. Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah dapat mempelbagaikan perkakasan dan perisian dalam sistem penyampaian. Bermula dengan interaksi secara lisan, manusia mula berkomunikasi dengan mencatat di atas batu, daun hinggalah berlakunya perkembangan teknologi kertas dan percetakan. Seterusnya teknologi fotografi telah berkembang yang menyebabkan terdapatnya gambar-gambar yang dapat digunakan sebagai rujukan disusuli pula dengan media elektronik seperti radio, televisyen, filem, video, VCD, DVD dan perkembangan terakhir dengan adanya teknologi multimedia seperti penggunaan CD-ROM, internet dan e-pembelajaran
(e-learning).


Pengenalan kepada persekitaran pembelajaran bestari adalah merupakan satu senario dalam pendidikan alaf baru di Malaysia bersesuaian dengan perkembangan teknologi, sosial dan budaya masa kini. Perkembangan seumpama ini memerlukan sesebuah institusi pendidikan menggabung serta memberi penekanan sebijak mungkin terhadap komponen yang terdapat dalam strategi pembelajaran. Usaha ini ialah ke arah mewujudkan suasana pembelajaran dan persekolahan yang lebih bermakna dan berkesan di mana guru-guru bukan lagi pendeta di atas pentas (sage by the stage) tetapi sebagai pembimbing di sisi (guide by the side) untuk menyampaikan pengajaran secara lebih berkesan.


Keberkesanan pendidikan ini dapat dilihat melalui peranan guru dan pelajar dalam proses pembelajaran melalui kurikulum yang lebih mantap dan bersepadu. Pengajaran guru yang bersifat “pembimbingan di sisi” harus mempunyai ciri-ciri yang boleh menjana pemikiran pelajar ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu. Dalam hal ini guru haruslah berusaha untuk menggunakan pelbagai pendekatan ke arah mengoptimumkan potensi pelajar dalam proses mencari ilmu. Pelajar perlu menanamkan sifat yang boleh berdikari serta proaktif dalam segala tindakan.


Amalan guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah seharusnyalah tidak lagi tertumpu hanya dengan membekal maklumat dan memberi jawapan berdasarkan soalan serta menggunakan bahan yang terhad sahaja. Apa yang harus dilakukan ialah membekal tugasan yang lebih mencabar terhadap aktiviti-aktiviti yang dijalankan dalam sesuatu pakej pembelajaran yang memerlukan analisis dan penyiasatan secara kooperatif dan kolaboratif dalam menyelesaikannya.
Begitu juga mengemukakan soalan-soalan yang berkehendakkan lebih banyak berfikir dan menjana minda serta menggunakan banyak bahan daripada sumber-sumber yang mudah didapati hasil daripada perkembangan teknologi ke arah memenuhi dan mencapai hasil pembelajaran.


 CABARAN DAN KEKANGAN  DALAM MEREALIASASIKAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN MELALUI TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI

Walaupun terdapat pelbagai keistemewaan menggunakan teknologi maklumat dalam pengajaran, namum terdapat beberapa isu yang sering dikaitkan dalam pengajaran komputer.  Stallard (1998) dalam kajiannya menyatakan bahawa keadaan yang menjadikan pengajaran tersebut tidak berkesan ialah kurangnya persediaan guru untuk membangunkan pengajaran yang berbantukan komputer.  Di samping itu, terdapat juga permasalahan dari segi ‘hardware’ untuk perisian kursus, sikap guru, pentadbir, latihan, galakan keluarga dan pengaruh komuniti yang mempengaruhi keberkesanan pelaksanaan dalam bilik darjah (Moersch, 1995). Pengajaran Bahasa Melayu tidak terkecuali daripada pengaruh teknologi maklumat dan komunikasi (TMK).  Walaupun pelajaran Bahasa Melayu hanya melibatkan penguasaan kemahiran bahasa yang kelihatannya agak mudah untuk dikuasai, namum masih terdapat beberapa kekangan yang dianggap boleh mengganggu keberkesanan pengajaran.

Masalah ini termasuklah penguasaan kemahiran asas Bahasa Melayu seperti lisan, membaca dan menulis.  Pada tahap yang lebih tinggi, masih terdapat pelajar yang tidak dapat memahami teks yang dibaca dengan sempurna. Oleh hal demikian, penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu dilihat sebagai satu usaha yang sesuai untuk memberikan impak terhadap permasalahan yang dihadapi. Sebagai alat bantu pengajaran yang terkini sifatnya, penggunaan komputer  dilihat sebagai usaha yang mampu mengubah persepsi pelajar terhadap pembelajaran Bahasa Melayu.  Guru Bahasa Melayu sebagai pengendali pengajaran, perlu mempunyai keterampilan dalam mengendalikan pengajaran bahasa berbantukan komputer.  Walaupun terdapat kesukaran dalam melaksanakannya, guru perlu bersedia dengan kemahiran dan pengetahuan selaras dengan keperluan  pendidikan kini yang memerlukan pengajaran lebih berpusatkan pelajar.

Dalam pengajaran bahasa, saya tidak nampak masalah menggunakan komputer dalam pengajaran.  Guru jangan terlalu takut menggunakan komputer dan tidak mahu belajar menggunakannya. Sebenarnya pembelajaran menggunakan komputer lebih menarik minat murid dan pemahaman mereka. Guru hanya perlu bersedia dengan bahan yang sudah di “download” dan disimpan dalam laman web sendiri dan bila sampai masa pengajaran tayangkan sahaja. Jika kita mahu tentu kita boleh melakukan.
 Memang tidak dapat dinafikan kekangan dalam penggunaan komputer di sekolah  amat ketara. Bukan sahaja permasalahan tersebut kepada guru tetapi juga pada keadaan semasa pengajaran. Antara masalah yang ketara ialah masalah  jadual penggunaan makmal komputer yang tidak menyebelahi guru-guru bahasa.  Sebagai guru di sekolah kita mempunyai hak yang sama untuk menggunakan kemudahan yang disediakan. Tidak bermakna peralatan PPSMI hanya boleh digunakan oleh guru-guru PPSMI sahaja. Cuma guru bahasa Malayu perlu bijak merebut peluang dalam hal ini. Memang tidak dinafikan bahawa guru-guru bahasa Melayu agak tertinggal dalam hal ini tetapi kita dapat mengatasi hal ini dengan melakukan perubahan terutama dalam pengajaran dan pembelajaran. Sebenarnya, pengajaran dan pembelajaran yang berbantukan komputer amat menarik jika kita bijak mengaplikasikannya dalam kelas. Malah pada saya sebagai guru bahasa banyak perkara yang boleh kita terokai melalui teknologi maklumat. Bak kata orang, “hendak seribu daya tidak hendak seribu dalih”.
 Selain itu, bukan semua kelas di sekolah boleh menggunakan komputer kerana peralatan seperti LCD di sekolah yang berkurangan dan telah rosak.  Guru juga tidak didedahkan dengan cara penggunaan LCD tersebut dengan betul. Begitu juga dengan sistem aliran elektrik,  bukan semua kelas mempunyai  sistem aliran eletrik yang elok terutama bagi sekolah-sekolah yang terletak di luar-luar bandar di mana aliran elektrik tidak di naik tarafkan dan telah lama tidak di ubahsuai. Sekolah juga terlalu menekankan ‘exam oriented’ dan sukatan pelajaran yang terlalu padat menyebabkan guru tidak dapat mempelbagaikan pengajaran tetapi sebaliknya terlalu menekatkan untuk menghabiskan sukatan bagi tahun semasa.
 Penggunaan komputer  dalam pengajaran bahasa ada dilakukan oleh guru Bahasa Melayu. Namun,  penggunaan yang tidak menyeluruh dari segi keperluan perlu diberi perhatian.  Contohnya, penggunaan komputer dalam kemahiran menulis sepatutunya diberi perhatian kerana penggunaan komputer mampu membantu pelajar dalam menyusun organisasi teks serta dapat memudahkan penyuntingan dilakukan.  Bagi memastikan keberkesanan pengajaran, bahan bantu yang digunakan  perlu dapat membantu guru menyampaikan pengajaran dengan lebih berkesan (Yahya Othman, 2007). Meskipun guru-guru bersedia mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran terutama berbantukan komputer, malangnya kekangan dari segi peralatan membantutkan hasrat tersebut. Pihak KPM harus melihat isu ini dengan lebih serius sekiranya mahu menjadikan pendidikan negara bertaraf dunia.
 Senario pendidikan pada hari ini penuh cabaran. Institusi pendidikan bagaikan rumah kaca yang menjadi tatapan orang ramai di sekelilingnya. Kelemahan dan kecemerlangan institusi pendidikan sering menjadi buah mulut sehingga keperluan untuk meningkatkan tahap profesionalisme dalam kalangan guru amat mendesak. Hal yang paling asas dengan kejaya sebagai guru dan paling berkaitan dengan murid ialah pengajaran dan pembelajaran.  Bagaimanakah hal ini boleh dicapai oleh seorang guru, terutamanya guru mata pelajaran Bahasa Melayu?
 Biarpun kaedah pengajaran dan pembelajaran ini ternyata banyak faedahnya, namun ada beberapa perkara yang boleh menjadi kekangan kepada pelaksanaannya.  Antara kekangan yang ketara ialah kebergantungan pada perisian untuk tujuan pengajaran khusus.  Guru dan pelajar memerlukan perisian yang sesuai dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa di mana perisian untuk pelajaran bahasa masih amat terhad.
 Penggunaan bahan teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran pada masa kini telah menjadi salah satu perkara yang penting bagi setiap guru.   Penggunaan teknologi ini mampu meningkatkan kefahaman para pelajar dengan lebih baik.  Oleh itu, penggunaan teknologi maklumat dalam proses pengajaran dan pembelajaran memerlukan kemahiran seseorang guru untuk mengendalikan dalam sesuatu perkara. Sungguhpun demikian, pengintegrasian teknologi maklumat dalam pengajaran bahasa di sekolah rendah terdapat kekangan yang perlu diambil berat iaitu kekurangan guru terlatih dalam bidang teknologi maklumat.  Guru-guru yang telah lama mengajar dalam bidang bahasa agak kurang pengetahuan dan pendedahan dalam bidang teknologi maklumat ini. Dengan ini, guru tersebut tidak mahir umtuk membuat perancangan pengajaran berdasarkan teknologi maklumat.  Ini dapat menimbulkan permasalahan di mana pengintegrasian teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna. Seterusnya, ini akan membantutkan perkembangan penggunaan bahan teknologi maklumat khususnya di kalangan pelajar.
 Pengintegrasian teknologi maklumat dan komunikasi dalam pengajaran merupakan salah satu kaedah pengajaran dan pembelajaran terkini untuk meningkatkan tahap kemahiran guru bagi menyampaikan sesuatu perkara khususnya dalam pengajaran bahasa.  Namun begitu, terdapat juga segelintir guru bahasa masih belum bersedia untuk mengubah keadah pengajaran mereka. Mereka masih menggunakan kaedah pembelajaran di bilik darjah dan hanya tertumpu kepada penggunaan papan tulis serta buku teks semata-mata . Guru-guru ini tidak mempunyai altenatif untuk mengubah kaedah  pengajaran bahasa.  Sebahagian mereka merasakan penggunaan pengajaran secara tradisional sudah cukup untuk menyediakan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan di bilik darjah.
 Selain itu, terdapat guru-guru yang tidak memahami nilai penggunaan teknologi maklumat ini dan ini menyebabkan mereka malas untuk belajar serta mendalami ilmu teknologi maklumat dan komunikasi.  Bagi guru-guru ini, penggunaan teknologi maklumat ini seolah-olah merupakan satu bebenan kepada mereka ketika sesi pengajaran dan pembelajaran. Menurut (Norizan Abdul Razak, 1997 ) dalam kajian kesediaan guru menggunakan teknologi maklumat dalam pengajaran bahasa membuktikan bahawa guru-guru masih lagi ragu-ragu dan takut untuk menggunakan komputer dalam pengajaran mereka. Perkara ini menjadi salah satu perkara yang membantutkan pengintegrasian teknologi maklumat dan komunikasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa di sekolah.  Walau bagaimanapun, masih terdapat guru-guru yang berminat untuk belajar tetapi terbantut kerana merasakan sukar untuk menguasai bidang teknologi maklumat dan komunikasi ini.
 
 PENYELESAIAN MASALAH BAGI CABARAN DAN KEKANGAN  DALAM MEREALIASASIKAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN MELALUI TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI
 Kekangan-kekangan yang dinyatakan tadi, sebenarnya boleh diatasi.  Dalam mengatasinya semua pihak harus memainkan peranan masing-masing dan bukan hanya tertumpu kepada guru sahaja malahan dari pihak kerajaan hinggalah masyarakat sekeliling.  Semua kekangan ini dapat dikurangkan jika pihak-pihak tadi bekerjasama dan bersatu padu.
 Jika kita lihat peranan dari pihak kerajaan di mana pihak kerajaan berperanan untuk memberi kesedaran kepada semua tentang pentingnya  penggunaan komputer  bagi mempercepatkan penerimaan dan penggunaan teknologi maklumat dalam pendidikan pada masa kini. Pelancaran Kempen Kesedaran Teknologi Maklumat oleh Mantan Pedana Menteri iaitu Tun Mahathir Mohamad pada 11 Oktober 1977 iaitu ketika beliau masih lagi menjadi Pedana Menteri, di mana melalui kempen tersebut pihak kerajaan juga memastikan setiap sekolah mendapat skim peruntukan kelengkapan makmal komputer yang cukup terutamanya bagi sekolah-sekolah yang berada di kawasan luar bandar.  Selain itu, pihak kerajaan juga menyediakan kursus teknologi maklumat untuk guru-guru yang bakal menjadi tenaga pengajar di sekolah. Kursus-kursus tersebut diadakan di universiti ataupun kursus-kursus semasa untuk guru-guru. Kerajaan juga perlu peka terhadap keperluan semasa pelajar dan masyarakat serta sentiasa peka terhadap perubahan teknologi global.  Ini dilakukan bagi mengatasi masalah kekangan guru yang kurang berpengalaman dalam mengakses internet dan persediaan mengajar menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi.
 Manakala, peranan pihak sekolah juga tidak kurang pentingnya. Pihak pentadbir sekolah tidak boleh hanya menunding jari kepada guru-guru sahaja sebaliknya perlu mempunyai strategi untuk menggabungkan dan memantapkan penggunaan teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran.  Peranan pemimpin adalah amat penting dalam membentuk budaya ICT di sekolah.  Mereka bukan sahaja perlu memberi sokongan dari segi kewangan tetapi juga menjadi model sebagai pengguna ICT dalam pentadbiran dan memberi respons kepada perubahan dalam teknologi maklumat sekarang ini. Oleh itu, perancangan yang jelas perlu disediakan.
 Perancangan yang teratur dapat membantu untuk mereka bentuk dan mengurus program berkaitan dengan teknologi maklumat bagi membolehkan guru dan pelajar menguasai ICT secara progresif dan teratur.  Program yang dilaksanakan perlu disemak sekurang-kurangnya setahun sekali. Ini penting dilakukan terutamanya apabila tahap kepakaran guru meningkat dan terdapat perubahan pada dasar dan prosedur dari Kementerian Pendidikan.  Program ini dirancang berdasarkan kepada malkumat dan perancangan sekolah, pandangan daripada ibu bapa dan komuniti, polisi Pejabat Pendidikan Daerah, Polisi Jabatan Pendidikan Negeri, polisi rasional penyelidikan tentang pengajarna dan pembelajaran yang efektif dan perkembangan teknologi (Mohammed Sani dan Mohd Jasmy, 2002 ).  Bagi melaksanakan polisi  dan matlamat yang telah ditetapkan sekolah harus menyediakan pelan pembangunan.  Pelan pembangunan ini termasuklah strategi pemantauan dan penilaian, spesifikasi tentang pemilihan pembiayaan serta pembelian perisian dan perkakasan, kurikulum yang digunakan dan perancangan untuk penggantian serta pembinaan peralatan secara berterusan.  Program pembangunan ini harus selari dengan matlamat dan prosedur yang telah ditentukan oleh Kementerian Pendidikan.
 Seterusnya, pemimpin sekolah juga harus memastikan prasarana yang lengkap dikendalikan agar dapat digunakan secara optimum oleh guru-guru semasa pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Penggunaan makmal komputer hendaklah mengikut jadual waktu yang ditetapkan oleh pihak pentadbiran agar kecelaruan atau kekecohan tidak timbul di kalangan guru-guru.  Peranan penyelaras makmal komputer dan pusat akses mesti di pantau supaya budaya menyelenggara alatan perkakas sentiasa dilakukan selepas makmal komputer digunakan. Penambahan komputer boleh diperoleh atas inisiatif PIBG dan pihak swasta.  Ini akan menambah lagi penggunaan ICT oleh guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran.
 
Selain daripada perancangan yang teliti, pekembangan dan pembangunan staf juga harus diberi perhatian oleh pemimpin sekolah.  Pembangunan staf yang melibatkan ICT dan inovasi perlu diberi penekanan. Perancangan pihak sekolah untuk memberikan kursus-kursus dalaman dan luaran kepada guru adalah perlu. Untuk itu pentadbir sekolah hendaklah sentiasa melakukan kajian tentang keperluan untuk mengenal pasti tahap penguasaan guru dalam bidang kemahiran ICT dan  instruksional.  Program perkembangan staf amat perlu untuk memastikan guru-guru menguasai ilmu dan ketrampilan yang diperlukan untuk menggunakan peralatan ICT dan bagaimana mereka dapat membantu pelajar-pelajar untuk menggunakan dengan betul. Program ini harus selari dengan pelan pembangunan sekolah.
 Sekarang kita lihat pula peranan guru itu sendiri dalam mengatasi masalah kekangan yang perlu dihadapi oleh guru bagi merealisasikan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu melalui teknologi maklumat dan komunikasi.  Menurut Skinner (1974), melalui teori pembelajaran behaviorisme, pembelajaran berlaku apabila seseorang itu bertindakbalas terhadap sesuatu rangsangan dan kemudiannya diberi pengukuhan.  Sementara teori kognitivisme pula menegaskan bahawa pembelajaran merupakan satu proses maklumat diterima, diproses dan disimpan dalam pemikiran seseorang.  Oleh itu, dapat dinyatakan bahawa guru berperanan sebagai penyampai maklumat dan memastikan bahawa pelajar telah mempunyai pengetahuan sedia ada.  Oleh itu segala perancangan dibuat mengikut turutan aktivtiti supaya objektif pembelajaran tercapai. Pembelajaran tutorial yang menggunakan ICT digunakan untuk menyampaikan kandungan pelajaran.  Sebahagian besar perisian pendidikan yang digunakan dalam pembelajaran tutorial direka berdasarkan kepada model tradisional pengajaran dan pembelajaran, model transmisi yang memperlihatkan guru sebagai penyampai maklumat utama dan murid sebagai penerima.
 Sebelum pendekatan ini dilaksanakan guru perlu memberi pertimbangan yang teliti. Adalah dicadangkan guru perlu menilai setiap perisian yang sesuai sebelum menjalankan proses pembelajaran dan pengajaran serta melakukan persediaan yang rapi dalam penyediaan peralatan ICT.  Kumpulan pelajar yang cemerlang dan lemah dibahagikan supaya memudahkan guru membuat penilaian di akhir sesi pengajaran.  Kumpulan yang lemah akan diberi latihan yang berbentuk latih tubi manakala yang cemerlang diberi latihan berbentuk pengayaan. Kesilapan dalam memberikan pertimbangan akan mengakibatkan pembaziran masa dan tenaga serta menghalang penggunaan kemudahan ICT yang lebih produktif.
 Guru sebenarnya berperanan sebagai fasilitator dalam mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran dan menggunakan ICT sebagai alat. Pelbagai strategi pengajaran boleh digunakan untuk menjana idea serta meningkatkan kemampuan murid untuk memanipulasikan maklumat yang telah dikumpul.  Pembelajaran secara penerokaan boleh digunakan oleh guru. Keadah pembelajaran ini membolehkan murid-murid mencari dan mengakses maklumat daripada ensaiklopedia multimedia atau bahan–bahan daripada internet. Melalui pengumpulan bahan-bahan ini, maklumat akan digunakan untuk menjana dan menguji hipotesis dalam penyelesaian masalah. Ini memudahkan pengajaran guru.
 Guru perlu memberi perhatian yang lebih apabila menggunakan keadah pembelajaran penerokaan ini.  Ini kerana murid-murid mungkin menggunakan terus maklumat yang diperoleh tanpa memanipulasikan.  Peranan guru dalam memantau penggunaan aplikasi pemprosesan perkataan, lembaran kerja dan persembahan adalah perlu untuk mengelakkan pemesongan tumpuan murid daripada perkara yang lebih penting.  Guru perlu memastikan bahawa penggunaan ICT adalah untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran seperti menganalisis maklumat dan bukannya digunakan sebagai mesin taip elekreonik. Pengetahuan guru perlu lebih daripada murid tentang ICT ini.
 Sebenarnya, penggunaan ICT sebagai alat komunikasi merupakan serampang dua mata dalam perkongsian teknologi maklumat dan komunikasi.  Guru boleh mengambil peluang daripada keupayaan ini untuk menjalankan pembelajaran kolaboratif di dalam kelas.  Keadah ini digunakan untuk membolehkan murid dan guru berinteraksi daripada lokasi yang berbeza menghantar, menerima dan berkongsi maklumat dalam pelbagai bentuk elemen multimedia.  Ini akan mewujudkan hubungan kerja berpasukan di kalangan murid di samping memantapkan kemahiran berkomunikasi. Namun begitu, guru perlu menyediakan garis panduan yang jelas dan terperinci untuk memastikan disiplin murid semasa penggunaan e-mail, chat room dan sebagainya. Penilaian boleh dijalankan oleh guru dan kumpulan perbincangan apabila hasil dibentangkan di dalam kelas. Ini akan menggalakkan percambahan pemikiran dan memantapkan kemahiran berfikir serta komunikasi murid-murid.  Strategi guru menggunakan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran harus selaras dengan isi kandungan mata pelajaran dan menekankan implikasi atau hasil pembelajaran yang diharapkan berdasarkan tahap murid.
 Dilihat pula peranan sebagai seorang pelajar dalam mengatasi masalah kekangan dalam merealisasikan teknologi maklumat dan komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran. Pelajar merupakan aset yang menentukan sama ada guru dapat merealisasikan pengajaran dan pembelajaran menggunakan teknologi maklumat ini. Melalui pengajaran menggunakan teknologi maklumat ini pelajar boleh menggunakan pemprosesan perkataan untuk menyediakan laporan-laporan aktiviti untuk aktiviti pengayaan, tugasan serta projek.  Pelajar boleh mengulangi tutorial mengikut keperluan, kemampuan dan kadar sendiri. Aktiviti dijalankan sama ada secara individu dengan akses kendiri atau dalam kumpulan kecil.  Pelbagai projek disediakan dalam muka indeks laman web untuk membolehkan pelajar mengakses maklumat daripada ‘World Wide Web’ seperti tugasan mencari nama-nama Perdana Menteri dan kejayaan mereka dan sebagainya.  Pelajar hanya perlu mencari URL laman berkaitan. Pelajar boleh berkomunikasi dengan pelajar di sekolah yang sama atau dari sekolah yang lain melalui e-mail untuk mengongsi maklumat yang ditemui sama ada untuk tujuan perbincangan atau memberi cadangan perlaksanaan tugasan atau projek.  Maklumat ini disimpan dalam laman web untuk diakses oleh pelajar yang lain.Misalnya dalam pautan e-mail pelajar dan cadangan pelajar.
 Peranan masyarakat juga boleh dikatakan penting. Bagi memantapkan integrasi ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran, sekolah harus menggunakan pelbagai perkhidmatan luar seperti pihak swasta, kerajaan, badan akademik, komersial serta komuniti setempat.  Pusat Sumber Pendidikan Negeri merupakan sumber rujukan yang paling relevan untuk mendapat khidmat nasihat mengenai teknik dan keadah pengajaran dan pembelajaran menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi.  Teknik perkongsian pintar antara sekolah dan sektor swasta boleh digunakan sebagai strategi untuk meningkatkan kemahiran ICT guru dan semua warga sekolah.  Sekolah harus menggunakan peluang yang ada dalam komuniti setempat dari segi mendapatkan sumbangan dalam bentuk tenaga pakar untuk membantu guru-guru dalam menjadikan penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran secara berkesan.

Akhir sekali, aspek fizikal perlu juga diberikan perhatian. Bahan bantu mengajar yang semasa seperti kemudahan teknologi maklumat dan kemunikasi (ICT) perlu digunakan untuk mengukuhkan penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar. Suasana bilik darjah juga perlu kondusif agar pemikiran murid-murid sentiasa bersedia untuk menerima pelajaran. Aktiviti pengukuhan melalui latihan yang sistematik akan meningkatkan penguasaan subjek Bahasa Melayu. Guru juga perlu menilai kerja murid mengikut kehendak peperiksaan awam agar kecemerlangan akademik murid-murid dapat direalisasikan.
                                                                      KESIMPULANNYA
 Pengintergrasian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) memang mendatangkan manfaat dan impak yang besar terhadap pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di sekolah rendah. Walaupun, terdapat pelbagai kekangan dalam merealisasikan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu, namum semua ini dapat diatasi dengan daya usaha semua pihak agar dapat member impak kepada pelajar-pelajar.


Sistem pendidikan sekolah di Malaysia hari ini dikatakan dapat menyediakan pelajar-pelajar yang serba boleh bagi menghadapi masa depan yang lebih mencabar. Dari semasa ke semasa, kerajaan akan sentiasa mencari jalan supaya pendidikan di Malaysia dapat dipertingkatkan. Dalam keghairahan menggunakan teknologi maklumat dalam pendidikan, kita harus berwaspada terhadap bahaya dan kesan negatif akibat penggunaan yang tidak terkawal. Walau apapun pandangan kita, penggunaan teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa sedikit sebanyak sudah pasti akan mengubah corak pendidikan masa depan dan tingkah laku kanak-kanak. Oleh itu, pengawalan dan pengawasan yang rapi dari semua pihak harus diberikan apabila menggunakan teknologi canggih ini.

     Nama :  Rozana Mohd Yusof
     K/P    :  660113-08-6386   

No comments:

Post a Comment

Post a Comment