Saturday, January 18, 2014

SEKADAR RENUNGAN BERSAMA, BESARNYA PENGORBANAN SEORANG YANG BERGELAR IBU...

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Saya telah menerima satu emel dari seseorang untuk bersama-sama berkongsi cerita ini di blog ini.. Artikel ini adalah tentang pembohongan seorang ibu terhadap anaknya selama lapan kali…. Teruskan membaca..

1. MAKANLAH, IBU TIDAK LAPAR.
Cerita bermula ketika penulis masih kecil.Hidup keluarga mereka serba kekurangan dan semasa makan ibu sering membahagikan bahagian nasinya untuk penulis.Sambil memindahkan nasi ke dalam mangkuknya,ibu berkata,Makanlah nak,ibu tidak lapar.

2. MAKANLAH,IBU TIDAK SUKA MAKAN IKAN.
Ketika penulis mulai besar,ibu sering meluangkan waktu senggangnya pergi memancing di taliair berhampiran rumah untuk dijadikan lauk mereka sekeluarga.Kemudian,ibu akan memasak gulai ikan yang segar itu untuk anak-anaknya.Sewaktu anak-anak makan,ibu akan duduk di samping mereka dan hanya memakan sisa makanan yang menempel di tulang bekas sisa ikan yang dimakan penulis dan adik-beradiknya.Bila penulis menghulurkan ikan kepadanya,ibu berkata…Makanlah nak,ibu tidak suka makan ikan.

3. CEPATLAH TIDUR, IBU BELUM NGANTUK.
Di usia awal remaja penulis,semasa beliau di sekolah menengah,ibu akan membawa sejumlah penyapu lidi dan kuih-muih ke kedai untuk menyara persekolahan penulis adik-beradik.Suatu dinihari,lebih kurang pukul 1.30 pagi penulis terjaga dari tidur dan melihat ibunya sedang membuat kuih bertemankan sebuah pelita di hadapannya.Penulis telah melihat beberapa kali kepala ibu terhangguk kerana mengantuk.Penulis pun berkata,Ibu,tidurlah,esok pagi ibu kena pergi kebun pula.”Ibu tersenyum sambil berkata,…Cepatlah tidur nak,ibu belum mengantuk lagi.

4. MINUMLAH, IBU TIDAK HAUS.
Di hujung musim persekolahan,ibu telah meminta cuti kerja supaya dapat menemani penulis pergi sekolah menduduki peperiksaan.Ibu sabar menunggu di luar dewan dan berpanas.Mulutnya pula terus kumat-kamit mendoakan agar anaknya akan lulus cemerlang.Ketika penulis selesai dengan peperiksaannya,ibu dengancepat menhulurkan air kopi yang disiapkan dalam botol yang dibawanya kepada penulis.Melihat ibunya dibasahi peluh,penulis segera memberikan cawannya kepada ibu.Ibu menolak sambil berkata….Minumlah nak,ibu tidak haus.

5. IBU TIDAK PERLUKAN CINTA DAN LELAKI.
Setelah pemergian ayah kerana sakit,yakni baru beberapa bulan penulis dilahirkan,ibu terpaksa mengambil alih tugas ayah.Melihat kehidupan mereka yang semakin susah,seorang pakcik yang baik hati dan tinggal berjiran sering datang memberikan ibu bantuan,tetapi ibu sering menolaknya.Jiran-jiran sering menasihati ibu supaya bernikah lagi agar ada orang lelaki yang menjaga dan mencari wang untuk mereka sekeluarga.Tetapi ibu tidak mengendahkan nasihat mereka dan berkata…Saya tidak perlukan cinta dan saya tidak perlukan lelaki.

6. JANGAN SUSAH-SUSAH,IBU ADA DUIT.
Setelah abang dan kakak penulis bekerja,mereka menyuruh ibu supaya berehat sahaja di rumah.Mereka juga sering mengirim duit kepada ibu tetapi ibu telah mengirim balik duit itu kepada mereka ambil berkata..Jangan susah-susah,ibu ada duit.

7. TIDAK PAYAH,IBU TIDAK BIASA.
Setelah tamat pengajian di universiti,penulis telah melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana di luar Negara dan dibiayai oleh sebuah syarikat.setelah mendapat sarjana yang cemerlang,penulis telah bekerja dengan syarikat tersebut.Dengan gaji yang lumayan,penulis berhajat membawa ibu menikmati penghujung hidupnya di luar negara.Tetapi ibu yang baik hati telah menolak kerana tidak mahu menyusahkan anak-anaknya dan berkata…Tak payahlah,ibu tidak biasa tinggal di negara orang.

8. JANGAN MENANGIS, IBU TIDAK SAKIT.
Beberapa tahun berlalu,ibu semakin tua.Suatu malam penulis menerima berita ibu diserang penyakit kanser.Ibu terpaksa dibedah secepat mungkin dan penulis yang berada jauh di seberang samudera,segera pulang menjenguk ibu tercinta.Penulis melihat ibu yang terbaring lemah selepas menjalani pembedahan.Ibu yang kelihatan tua masih mampu menatap wajah penulis penuh kerinduan bersama sebuah senyuman.Penulis dapat melihat betapa siksanya ibu menahan sakit yang menjalari setiap inci tubuhnya…Penulis menatap wajah ibu sambil berlinangan airmata.Namun ibu tetap tersenyum dan berkata…Jangan menangis nak,ibu tidak sakit.Selepas pengucapan pembohongan kelapan itu,ibu telah pergi mengadap penciptanya.

Sehingga kini penulis diburu rasa bersalah yang amat sangat kerana biarpun beliau mengasihi ibunya,tetapi beliau tidak pernah sekalipun membisikkan kata-kata itu kepada ibunya.

Sedihkan cerita ni.. Semoga ianya memberi pengajaran kepada kita betapa berharganya kasih sayang seorang ibu.. Sesungguhnya jasa ibu amatlah besar dalam hidup kita.. Kita selalu terlupa dengannya.. Sibuk dengan kehidupan mengejar kekayaan, penghormatan sehingga terlupa insan yang menjaga kita.. Wallahualam..

Sabda Rasullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Dia memberitahu kamu supaya taat kepada Allah dan RasulNya sentiasa. Selepas itu taatlah kepada ibumu kemudian ibumu kemudian ibumu kemudian ayahmu!

Wassalam..

Thursday, December 26, 2013

Diariku

Sudah lama aku tidak menjengok blogku ini. Wujudnya blog ini disebabkan salah satu kerja kursus bagi pengajianku. Kini, aku telah tamat pengajianku, Aku mula merindui saat bersama-sama teman di kolej dan asrama IPG KSAH. Saat-saat ni takkan dapatku lupakan. 4 tahun aku menyambung pengajian. Begitu banyak cabaran dan dugaan yang terpaksa aku tempuh.Perit getir terpaksaku tempuh demi segulung ijazah. Hidupku selama 4 tahun hanya bergantung dengan buku sama ada di sekolah atau pun di IPG. Hasrat untuk menjadi yang terbaik dalam profesionku hampir menjadi kenyataan. Apa pun aku amat bersyukur ke hadrat Illahi kerana telah menguatkan semangatku untuk terus berjuang di arena pendidikan. Pengorbanan suami dan anak-anak amat-amatku hargai. Tanpa semangat daripada mereka mungkin aku telah lama kecundang di pertengahan jalan. Terima kasih semua, Terima kasih juga buat semua pensyarah yang telah bersusah payah mengajarku, terutama pensyarah daripada pengajian bahasa di IPG KSAH terutama En. Suhemi yang memberi tugasan pada kami untuk membuat blog ini, Selain itu, Puan Mazura, En Khairi, En. Januri, En. Roslan, Puan Rodiah, Cik Asniza, En. Ibrahim, dan ramai lagi pensyarah sama ada pensyarah daripada pengajian Melayu, Pendidikan, Seni Visual, Matematik, Bahasa Inggeris, Pendidikan Jasmani dan sebagainya. TERIMA KASIH BUAT SEMUA. Tanpa kalian siapalah daku.


Ditelan mati emak, diluah mati bapa...

Ditelan mati emak, diluah mati bapa...

“Sesuatu yang tidak disangka, seringkali mendatangi kita”...petikan lirik lagu Suratan atau Kebetulan.  Ada makna yang tersirat kan...ada kaitan dengan membuat pilihan dan menerima takdir

Dalam hidup kita tidak dapat lari daripada membuat pilihan.  Seawal subuh hari, kita perlu memilih antara terus melayan mimpi atau segera bangun mengerjakan solat subuh. Setiap pagi juga kita perlu pilih baju mana yang nak dipakai untuk pergi kerja, misalnya nak pilih baju kurung biru, baju kebaya bunga-bunga atau yang mana. Bersarapan pula, perlu pilih menu yang menyelerakan. Nasi lemak atau roti canai, teh tarik atau kopi O. Di tempat  kerja, perlu pilih sama ada nak kerja dengan penuh semangat dan ceria atau sekadar biasa-biasa saja.  Dan begitulah seterusnya dalam kehidupan kita sehari-hari.

Ada kerikanya senang dan mudah membuat pilihan namun ada masanya agak sukar malah kekadang meletakkan kita pada situasi  “ditelan mati emak, diluah mati bapak”. Aduhai.
Saat membuat pilihan menu mana nak pilih , atau baju mana nak pakai mungkin mudah. Bagaimana jika melibatkan keputusan dalam menentukan perkara yang besar dan utama dalam hidup seperti perkahwinan dan perceraian...

Persoalannya...bagaimana untuk memastikan pilihan yang bakal dibuat adalah keputusan yang bijak, tepat dan mampu memberikan kebahagiaan kepada kita. Sekadar ingin berkongsi info daripada bacaan saya , mungkin boleh dijadikan panduan bersama-sama.

1.         Pinggirkan emosi
Pastikan berada dalam keadaan tenang dan berfikiran waras. Bersikap tabah, tenang dan yakin dengan kemampuan diri untuk menangani permasalahan yang dihadapi. Firman Allah SWT dalam ayat 286 Surah Al-Baqarah  bBermaksud “ Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesaanggupannya”. Jika Allah SWT yakin dengan kemampuan kita, mengapa kita tidak mempercayai kemampuan diri kita sendiri.

2.         Utamakan keperluan dan kebajikan masa depan.
Pabila wujud ketenangan, senaraikan keperluan anda dan kaitkan dengan pilihan yang perlu dilakukan. Jangan fikirkan keperluan dan kebajikan diri sendiri saja tetapi juga insan-insan di sekeliling kita. Hari esok belum pasti, hari ini adalah realiti. Namun realiti hari ini sebagai asas untuk hidup masa depan.

3.         Berserah, mohon bantuan daripada-Nya.
Paling utama, jangan membuat pilihan dan keputusan hanya menggunakan akal dan fikiran kita sahaja. Sebaliknya serahkan segalanya kepada  ketentuan Illahi. Mohon yang terbaik daripada-Nya. Hanya Allah yang tahu mana yang terbaik untuk kita. Ada kawan-kawan saya dengan mudah mengatakan cara terbaik “lakukan Isthikarah”...tapi daripada bacaan saya juga, boleh lakukan isthikarah tetapi ada syaratnya. Lakukan dengan penuh khusyuk dan berserah kepada-Nya. Bukan dalam keadaan kita telah punya pilihan atau keputusan. Ini kerna jika telah ada pilihan atau keputusan percayalah isthkarah anda sukar mencapai keputusan yang tepat.

Jangan salahkan takdir kerana setiap perkara yang berlaku bukan sia-sia. Tak pernah ada musibah dalam hidup ini kerana Allah SWT tidak akan menzalimi hambanya.

Sunday, June 24, 2012


Hukum D-M

Hukum D-M
Hukum D-M digolongkan dalam Frasa Nama. Kerap kita mendengar orang berkata ‘goreng pisang’ untuk merujuk kepada frasa nama ‘pisang yang digoreng’. Seharusnya bentuk yang betul ialah ‘pisang goreng’ kerana kita merujuk kata nama ‘pisang’ sedangkan perkataan ‘goreng’ merujuk kata kerja ‘goreng’ dan merupakan penerang bagi perkataan ‘pisang’ dalam frasa berkenaan. Namun disebabkan kebiasaan pertuturan dan diterima, tambahan pula difahami oleh masyarakat, sesetengah kita menerimanya sebagai betul sedangkan hakikatnya dari sudut tatabahasa pembentukannya adalah salah. Hal yang sama dapat dilihat pada frasa ‘lain-lain hal’ sedangkan hakikatnya kita merujuk ‘hal’ bukannya ‘lain-lain’. Seharusnya pembetukan frasa berkenaan ialah ‘hal-hal lain’ kerana ‘hal’ tersebut yang banyak bukannya ‘lain’. Hal ini berpunca daripada kebiasaan sebutan dan ‘sedap’ bunyi sebutan yang diterima oleh penutur lisan bahasa Melayu kerana pada sesetengah keadaan sebutannya konsisten. Misalnya kita tidak akan menyebut ‘tua kelapa’ bagi merujuk ‘kelapa yang sudah tua’, sebaliknya dalam apa-apa juga keadaan kita akan menyebut ‘kelapa tua’ bagi merujuk frasa nama berkenaan.
Pembentukan Hukum D-M
Pada dasarnya, terdapat peraturan tertentu untuk mengatur susunan kedudukan konstituen-konstituen kata nama dalam pembentukan frasa nama. Peraturan-peratran tersebut menentukan perkara yang hadir dahulu dan yang perlu hadir kemudian ataupun selepas konstituen pertama. Hukum D-M tergolong dalam bahagian frasa nama. Pada dasarnya (D) merujuk aspek yang ‘Diterangkan’ manakala (M) merujuk aspek yang ‘Menerangkan’. Menurut hukum tatabahasa, sesuatu perkara yang mahu ‘diterangkan’ harus dinyatakan dahulu sebelum disusuli perkataan yang ‘menerangkan’. Misalnya apabila kita mahu merujuk pisang yang digoreng, seharusnya kita menyatakan ‘pisang’ sebagai kata nama yang mahu diterangkan barulah disusuli ‘goreng’ sebagai perkataan yang menerangkan pisang berkenaan. Maka, seharusnya susunan frasanya menjadi ‘pisang goreng’ bukannya ‘goreng pisang’ kerana ‘goreng pisang’ merujuk ‘goreng’ sebagai perkataan yang mahu diterangkan iaitu kata kerja dan ‘pisang’ sebagai kata yang menerangkan perkataan goreng. Maka apabila disebut ‘goreng pisang’ kita seharusnya merujuk frasa kerja (perbuatan menggoreng pisang) bukannya frasa nama.
Dengan kata lain, dalam pembentukan hukum D-M, unsur yang‘Diterangkan’ merupakan unsur inti yang diletakkan pada kedudukan pertama dan unsur yang ‘Menerangkan’ merupakan unsur penerang yang diletakkan pada kedudukan kedua. Contohnya:
Bil. Unsur Diterangkan (D) Unsur Menerangkan (M) Keterangan Frasa
1 - Kelapa - tua - buah kelapa yang sudah tua
2 - Orang - muda - orang yang masih muda
3 - Guru - sains - guru yang mengajarkan sains
4 - Serbuk - cili - serbuk yang dibuat daripada cili
5 - Sos - tomato - sos yang dibuat daripada tomato
6 - Restoran - Zaini - restoran kepunyaan Zaini
7 - Kedai Buku - Harris - kedai buku kepunyaan Harris
8 - Keledek - goreng - keledek yang telah digoreng
9 - Kacang - rebus - kacang yang sudah direbus
10 - Rendang - daging - rendang yang dibuat daripada daging.
11 - Susu - lembu - susu yang diambil daripada lembu
12 - Lembu - susu - lembu yang mengeluarkan susu
Kebanyakan kekeliruan yang timbul dikenal pasti berpunca daripada kebiasaan sebutannya dalam bahasa Inggeris yang struktur pembentukannya berbeza daripada struktur Bahasa Melayu. Misalnya dalam bahasa Inggeris ‘Restoran Yusof’ disebut sebagai ‘Yusof Restaurant’. Hakikatnya dalam bahasa Melayu kita memperkatakan ‘Restoran’ yang dimiliki oleh Yusof, maka seharusnya kita meletakkan unsur ‘Restoran’ pada kedudukan pertama sebagai aspek yang ‘Diterangkan’ barulah diikuti oleh ‘Yusof’ sebagai unsur yang ‘Menerangkan’ iaitu yang memiliki restoran berkenaan. Frasa berkenaan seharusnya disebut sebagai ‘Restoran Yusof’. Dari sudat makna, jika disebut ‘Yusof Restoran’, maka sebenarnya kita merujuk kepada ‘Yusof’ sebagai ‘restoran’. Bukankah perkara ini ganjil kerana Yusof ialah manusia bukannya sebuah restoran.
Dalam sesetengah keadaan, terdapat frasa yang boleh disusun secara terbalik tetapi membentuk makna yang berbeza, bergantung kepada unsur yang disebut dahulu. Misalnya frasa nama ‘susu lembu’ merujuk maksud ‘susu yang diambil daripada lembu’. Manakala ‘lembu susu’ merujuk maksud ‘lembu yang dipelihara untuk tujuan mendapatkan susunya’. Maka dari segi ayat haruslah disebut mengikut maksud yang ingin disampaikan. Contohnya;
1. Ahmad minum susu lembu pada setiap pagi.
2. Ahmad memelihara beberapa ekor lembu susu.
Ulasan:
Ayat 1 merujuk kepada susu. Manakala ayat 2 merujuk kepada lembu yang dipelihara bagi mendapatkan susunya. Maka apabila ayat 1 diubah kepada ‘lembu susu’ maka dari segi maksud, maknanya agak ganjil kerana tidak mungkin ‘Ahmad minum lembu’ sedangkan hakikatnya ‘Ahmad minum susu’. Manakala ayat 2 pula jika diubah kepada ‘susu lembu’ juga menimbulkan kekacauan maksud ayat kerana tidak mungkin ‘Ahmad memelihara susu’, sedangkan maksud yang tepat ialah “Ahmad memelihara lembu’.
Kekeliruan Hukum D-M
Dalam pembentukan frasa nama yang berkaitan dengan Hukum D-M, terdapat beberapa kekeliruan kerana kebiasaan penggunaan yang diterima pakai dalam pertuturan harian sebagai frasa yang betul. Hal ini berpunca daripada pemahaman masyarakat (masyarakat memahami frasa tersebut) terhadap frasa berkenaan, sedangkan hakikatnya dari segi hukum tatabahasa perkara ini menyalahi hukum pembentukan frasa nama.
Antara frasa nama yang kerap menimbulkan kekeliruan ialah;
Bil. Bentuk Yang Salah -Bentuk Yang Betul
1. - lain-lain hal - hal-hal lain
2. - lain-lain perkara - perkara-perkara lain
3. - lain-lain masalah - masalah-masalah lain
4. - lain-lain kata - kata-kata lain
5. - warung goreng pisang - warung pisang goreng
6. - Adnin Kedai Runcit - Kedai Runcit Adnin
7. - tomato sos - sos tomato
8. - pencuci serbuk - serbuk pencuci
9. - Tan Klinik Gigi - Klinik Gigi Tan
10. - petrolium gas - gas petrolium
• Semua bentuk di atas bertentangan dengan pembentukan hukum D-M dari segi maksud frasa berkenaan kerana unsur utama (‘Diterangkan’) terletak di belakang unsur yang ‘Menerangkan’. Semua bentuk di atas merupakan terjemahan terus mengikut struktur bahasa Inggeris

Golongan kata adjektif

Golongan kata adjektif
Kata adjektif (KA) ialah kata yang menjadi inti dalam frasa adjektif seperti manis sekali, sudah lama sungguh, masih lebat lagi (kata yang menjadi inti frasa digariskan di bawahnya).
Kata-kata dalam golongan kata adjektif menerangkan keadaan atau sifat sesuatu nama atau frasa nama. Kata adjektif boleh dikenali jika kata berkenaan didahului oleh kata penguat seperti amat, sangat, sungguh, sekali, paling, agak, benar.
Kata adjektif boleh dibahagikan kepada sembilan sub golongan.
Jenis
Contoh
Sifat
Baik, cerdik, berani. Lemah, kukuh, kemas, kejap, secantik, terkuat
warna
Merah, jingga, ungu, putih, kuning langsat
ukuran
Pendek, panjang, tebal, nipis, dalam, besar, sebesar, terpanjang, ternipis
bentuk
Bulat, bujur, leper, empat segi, lonjong.
waktu
Lama, lambat, lewat, segera, suntuk, lampau, lalu, silam.
jarak
Dekat, hampir, jauh
cara
Selalu, jarang, kadang-kadang, kerap, lambat, deras, laju, jelas, muram, lincah.
Pancaindera
- rasa
- pandang
- dengar
- bau
- sentuh
Sedap, lzat, manis,pahit, lemak, pedas, payau
Buruk, hodoh, jelita, cantik
Bising, senyap
Busuk, wangi, hangit, hapak
Kesat, kasar, lembab, halus, licin
Adjektif perasaan
Takut, seram, benci, rindu, marah, senang, gembira.
Tip
Kata adjektif dikenali jika kata berkenaan didahului atau diikuti oleh kata penguat seperti amat, sangat, sungguh, sekali, paling, agak, benar
Kata adjektif menerangkan keadaan atau sifat sesuatu nama atau frasa nama.
Adjektif perasaan harus diiktui oleh kata sendi nama sepertiakan, dengan, terhadap dan sebagainya. http://www.tutor.com.my/stpm/Golongan%20kata%20adjektif/golong1.gif
Contoh:
Saya sangat segan denganawak
Ahmad amat rindu akankekasihnya di Indonesia
Orang kaya itu amat maluuntuk meminta pertolongan mere

Kata Kerja

Kata Kerja
Kata kerja terbahagi kepada :
A. Kata Kerja Transitif ( Perbuatan Melampau )
B. Kata Kerja Tak Transitif ( Perbuatan tidak Melampau )
A. Kata Kerja Transitif
1. Kata Kerja Transitf ialah segala perbuatan yang dilakukan oleh pembuatnya kepada benda lain.Benda yang kena oleh perbuatan itu dipanggil penyambut ( objek ).
2. Ayat ini mesti ada peyambutnya ( objek )
3. Kata kerja ini biasanya mempunyai imbuhan ‘me-‘ sama ada sebagai awalan atau sebahagian daripada imbuhan contohnya mengambil, mendermakan, membacakan, menduduki, mempersilakan.
1. Kata kerja transitif ialah kata kerja yang mesti disertai oleh objek, iaitu kata nama. Contohnya: Atan mendengar radio.
‑ mendengar ialah kata kerja
transitif
‑ radio ialah objek (kata nama)
Kata kerja transitif menggunakan imbuhan men‑, men ...i, men ...kan, memper‑, memper...i, dan memper...kan. Contohnya:
Contoh ayat :
1. Kucing itu menangkap seekor burung.
2. perempuan itu menjual sayur.
3. Bapa sedang menulis surat.
Dalam ayat pertama Kucing ialah pembuat, menangkap ialah perbuatan melampau dan seekor burung ialah benda yang kena buat atau penyambut.
Dalam ayat kedua Perempuan ialah pembuat, menjual ialah perbuatan melampau dan sayur ialah benda yang kena buat atau penyambut.
Dalam ayat ketiga Bapa ialah pembuat, menulis ialah perbuatan melampau dan surat ialah benda yang kena buat
atau penyambut.
(a) Pak Abu menjala ikan.
(b) Orang ramai diminta menjauhi kawasan itu.
(c) "Kita tidak harus membiarkan perkara ini berterusan," kata ketua kampung.
(d) Jangan suka memperdaya orang yang bodoh.
(e) Untuk memperbaiki mutu lakon­an anda perlu selalu berlatih.
(f) Pihak polls mempertemukan ibu itu dengan anaknya.
Subjek ( pembuat )
Kata kerja transitif
penyambut ( Objek )
Dia suka
membaca
buku
Jamilah
memukul
seekor ular
Abidin
menjual
kuih-muih
Ramli
berjalan
ke sekolah
Kereta itu
melanggar
seekor lembu
B. Kata Kerja Tak Transitif
Kata kerja tak transitif ialah segala perbuatan yang dilakukan oleh pembuat itu sendiri kepada diri pembuat itu sendiri, tidak kepada benda atau orang lain. Oleh itu ia tidak mempunyai penyambut.
Contohnya :
1. Mereka berjalan pada hari cuti.
2. Anjing itu sedang tidur.
3. Hujan turun dengan lebatnya semalam.
Dalam ayat pertama Mereka melakukan berjalan, tidak kepada benda lain.
Dalam ayat kedua Anjing melakukan tidur, tidak kepada benda lain.
Dalam ayat ketiga Hujan melakukan turun, tidak kepada benda lain.
Subjek ( pembuat )
Kata kerja tak Transitif
keterangan
Kami
mandi
di tasek itu.
Dia
senyum
semasa berjalan
Saya
menyanyi
dengan kuat
Hassan
berjalan
ke sekolah
7.1 Kata Kerja Tak Transitif
1. Kata kerja tak transitif ialah kata kerja yang dapat berdiri sendiri dalam ayat, yakni tidak memerlukan objek lagi.
2. Kata kerja tak transitif ada yang berbentuk asal dan ada yang berimbuhan ber‑, men‑, ter‑, ber... an,
dan ber...kan. Contohnya: (a) Ravi belum datang lagi. (b) Murid‑murid sedang belajar. (c) Sungai itu mengalir deras.
Peringatan
Tiap-tiap kata kerja tak transitif boleh dijadikan kata kerja transitif dengan menambah ‘kan’ atau ‘ I’
di hujungnya.
Contoh ayat:
1. Mereka menjalankan jentera itu.
2. Emak sedang menidurkan adik.
3. Pekerja itu menurunkan barang-barang dari atas lori.
4. Halim mengikuti perbualan mereka.
5. Saya sudahi syarahan saya ini dengan ucapan salam.
7.3 Kata Kerja Pasif
1. Kata kerja pasif ialah kata kerja yang berasal daripada kata kerja transitif tetapi yang tidak berawalan men‑. Contohnya: angkat, atasi, berikan, percepat, pelajari, persilakan, dan sebagainya.
2. Ada tiga jenis kata kerja pasif. (a) kata kerja pasif diri pertama (b) kata kerja pasif diri kedua (c) kata kerja pasif diri ketiga
3. Kata kerja pasif diri pertama ialah kata kerja pasif yang berimbuhan ku‑. Contohnya: kuangkat, kuatasi, kuberikan, kupercepat, kupelajari, dan kupersilakan.
4. Kata kerja pasif diri kedua ialah yang berimbuhan kau‑. Contohnya: kauangkat, kauatasi, kauberikan, kaupercepat, kaupelajari, dan kaupersilakan.
5 Kata kerja pasif diri ketiga ialah yang berimbuhan di‑. Contohnya: diangkat, diatasi, diberikan, dipercepat, dipelajari, dan dipersilakan