Thursday, December 26, 2013

Diariku

Sudah lama aku tidak menjengok blogku ini. Wujudnya blog ini disebabkan salah satu kerja kursus bagi pengajianku. Kini, aku telah tamat pengajianku, Aku mula merindui saat bersama-sama teman di kolej dan asrama IPG KSAH. Saat-saat ni takkan dapatku lupakan. 4 tahun aku menyambung pengajian. Begitu banyak cabaran dan dugaan yang terpaksa aku tempuh.Perit getir terpaksaku tempuh demi segulung ijazah. Hidupku selama 4 tahun hanya bergantung dengan buku sama ada di sekolah atau pun di IPG. Hasrat untuk menjadi yang terbaik dalam profesionku hampir menjadi kenyataan. Apa pun aku amat bersyukur ke hadrat Illahi kerana telah menguatkan semangatku untuk terus berjuang di arena pendidikan. Pengorbanan suami dan anak-anak amat-amatku hargai. Tanpa semangat daripada mereka mungkin aku telah lama kecundang di pertengahan jalan. Terima kasih semua, Terima kasih juga buat semua pensyarah yang telah bersusah payah mengajarku, terutama pensyarah daripada pengajian bahasa di IPG KSAH terutama En. Suhemi yang memberi tugasan pada kami untuk membuat blog ini, Selain itu, Puan Mazura, En Khairi, En. Januri, En. Roslan, Puan Rodiah, Cik Asniza, En. Ibrahim, dan ramai lagi pensyarah sama ada pensyarah daripada pengajian Melayu, Pendidikan, Seni Visual, Matematik, Bahasa Inggeris, Pendidikan Jasmani dan sebagainya. TERIMA KASIH BUAT SEMUA. Tanpa kalian siapalah daku.


Ditelan mati emak, diluah mati bapa...

Ditelan mati emak, diluah mati bapa...

“Sesuatu yang tidak disangka, seringkali mendatangi kita”...petikan lirik lagu Suratan atau Kebetulan.  Ada makna yang tersirat kan...ada kaitan dengan membuat pilihan dan menerima takdir

Dalam hidup kita tidak dapat lari daripada membuat pilihan.  Seawal subuh hari, kita perlu memilih antara terus melayan mimpi atau segera bangun mengerjakan solat subuh. Setiap pagi juga kita perlu pilih baju mana yang nak dipakai untuk pergi kerja, misalnya nak pilih baju kurung biru, baju kebaya bunga-bunga atau yang mana. Bersarapan pula, perlu pilih menu yang menyelerakan. Nasi lemak atau roti canai, teh tarik atau kopi O. Di tempat  kerja, perlu pilih sama ada nak kerja dengan penuh semangat dan ceria atau sekadar biasa-biasa saja.  Dan begitulah seterusnya dalam kehidupan kita sehari-hari.

Ada kerikanya senang dan mudah membuat pilihan namun ada masanya agak sukar malah kekadang meletakkan kita pada situasi  “ditelan mati emak, diluah mati bapak”. Aduhai.
Saat membuat pilihan menu mana nak pilih , atau baju mana nak pakai mungkin mudah. Bagaimana jika melibatkan keputusan dalam menentukan perkara yang besar dan utama dalam hidup seperti perkahwinan dan perceraian...

Persoalannya...bagaimana untuk memastikan pilihan yang bakal dibuat adalah keputusan yang bijak, tepat dan mampu memberikan kebahagiaan kepada kita. Sekadar ingin berkongsi info daripada bacaan saya , mungkin boleh dijadikan panduan bersama-sama.

1.         Pinggirkan emosi
Pastikan berada dalam keadaan tenang dan berfikiran waras. Bersikap tabah, tenang dan yakin dengan kemampuan diri untuk menangani permasalahan yang dihadapi. Firman Allah SWT dalam ayat 286 Surah Al-Baqarah  bBermaksud “ Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesaanggupannya”. Jika Allah SWT yakin dengan kemampuan kita, mengapa kita tidak mempercayai kemampuan diri kita sendiri.

2.         Utamakan keperluan dan kebajikan masa depan.
Pabila wujud ketenangan, senaraikan keperluan anda dan kaitkan dengan pilihan yang perlu dilakukan. Jangan fikirkan keperluan dan kebajikan diri sendiri saja tetapi juga insan-insan di sekeliling kita. Hari esok belum pasti, hari ini adalah realiti. Namun realiti hari ini sebagai asas untuk hidup masa depan.

3.         Berserah, mohon bantuan daripada-Nya.
Paling utama, jangan membuat pilihan dan keputusan hanya menggunakan akal dan fikiran kita sahaja. Sebaliknya serahkan segalanya kepada  ketentuan Illahi. Mohon yang terbaik daripada-Nya. Hanya Allah yang tahu mana yang terbaik untuk kita. Ada kawan-kawan saya dengan mudah mengatakan cara terbaik “lakukan Isthikarah”...tapi daripada bacaan saya juga, boleh lakukan isthikarah tetapi ada syaratnya. Lakukan dengan penuh khusyuk dan berserah kepada-Nya. Bukan dalam keadaan kita telah punya pilihan atau keputusan. Ini kerna jika telah ada pilihan atau keputusan percayalah isthkarah anda sukar mencapai keputusan yang tepat.

Jangan salahkan takdir kerana setiap perkara yang berlaku bukan sia-sia. Tak pernah ada musibah dalam hidup ini kerana Allah SWT tidak akan menzalimi hambanya.