Friday, June 1, 2012

SEJARAH PERKEMANGAN BAHASA MELAYU


Dalam blog ini saya akan sertakan seberapa banyak bahan berguna yang berkitan dengan kursus ini agar digunakan oleh anda semua sebagai pengajaran. gunakan bahan ini sebaik mungkin kerana banyak membantu anda semua di samping saya sertakan blog lain yang berkitan dan mempunyai manfaat kepada pengajaran dan pembelajaran kursus SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU.

ASAL-USUL BAHASA MELAYU

PENGENALANBerkurun lamanya orang yang tinggal di alam Melayu ini hidup berkelompok tanpa berhubungan dengan kelompok yang lain. Mereka dipisahkan oleh gunung-ganang dan lautan yang luas. Walaupun pada mulanya mereka satu asal tetapi kerana terputusnya hubungan di antara satu kelompok dengan kelompok yang lain dalam masa yang sangat lama, maka setiap kelompok mengatur cara hidup dan menggunakan pertuturan mereka sendiri sesuai dengan keadaan alam dan keperluan hidup mereka masing-masing. Akibat keadaan inilah timbulnya suku bangsa dan bahasa yang terdapat di Indonesia dan pelbagai loghat/dialek bahasa Melayu di Tanah Semenanjung. Sebelum ditemui bukti sejarah berupa tulisan pada batu bersurat tentulah bahasa Melayu telah digunakan untuk masa yang panjang kerana didapati bahasa yang ada pada batu bersurat kemudiannya sudah agak tersusun pembinaan kata dan pembinaan ayatnya dan juga sudah kuat pengaruhnya sehingga orang India yang menulis perkataan pada batu bersurat tersebut yang menggunakan aksara Sanskrit memasukkan juga beberapa perkataan Melayu. Untuk memberi nama pada bahasa yang tidak mempunyai bukti sejarah tersebut (sebelum bahasa orang India masuk ke Nusantara), ia diberi nama bahasa Melayu Purba.

BAHASA MELAYU KUNO
Berabad-abad sebelum Masihi, Selat Melaka telah digunakan oleh pedagang Arab sebagai laluan pelayarannya membawa barang perniagaan dari Tiongkok, Sumatera, dan India ke Pelabuhan Yaman. Dari Sumatera hasil yang paling utama mereka beli ialah rempah kerana rempah ini merupakan keperluan yang penting bagi orang Arab di Saba' (Kerajaan Saba' wujud di antara 115-950 SM). Pelabuhan di Sumatera pula mendapat bekalan rempah ini dari Pulau Maluku di samping Aceh yang sudah terkenal hasil rempahnya ke dunia Arab. Pedagang Arab yang dimaksudkan di sini tidak semestinya beragama Islam kerana hubungan di antara Arab dan alam Melayu telah wujud sejak zaman sebelum munculnya Islam. Penggunaan kapur barus untuk mengawetkan mayat (mummi) yang disimpan di dalam piramid pada Zaman Mesir Kuno dikatakan diambil dari Barus (nama tempat) di Pulau Sumatera. Pada abad pertama, barulah pedagang dari India belayar ke timur menuju Tiongkok dan pedagang Tiongkok pula belayar ke barat menuju India. Pelayaran dua hala ini mengharuskan mereka melalui Selat Melaka. Lama-kelamaan pelabuhan yang ada di Kepulauan Melayu ini bukan sahaja sebagai tempat persinggahan tetapi menjadi tempat perdagangan pedagang India dan Tiongkok seperti yang telah dirintis lebih awal oleh pedagang Arab. Di samping itu juga para mubaligh terutama mubaligh India turut datang ke Kepulauan Melayu ini untuk menyebarkan agama Hindu. Kedatangan para pedagang dan penyebar agama ini mengakibatkan bahasa Melayu Purba mendapat pengaruh baru. Bahasa Melayu Purba ini kemudian dinamai sebagai bahasa Melayu Kuno.

Batu BersuratBukti bertulis yang tertua tentang bahasa Melayu Kuno ini terdapat di beberapa buah prasasti (batu bersurat). Yang terpenting di antara batu bersurat tersebut ialah:
(a) Batu Bersurat Kedukan Bukit (Palembang), bertarikh 605 Tahun Saka, bersamaan dengan 683 M (Masihi). Tulisan yang terdapat pada Batu Bersurat ini menggunakan huruf Palava (lihat lampiran 2).(b) Batu Bersurat Talang Tuwo (Palembang), bertarikh 606 Tahun Saka, bersamaan dengan 684 M. Batu Bersurat ini ditemui oleh Residen Westenenk, 17 November 1920 di sebuah kawasan bernama Talang Tuwo, di sebelah barat daya Bukit Siguntang, iaitu lebih kurang 8 km dari Palembang. (c) Batu Bersurat Kota Kapur (Bangka), bertarikh 608 Tahun Saka, bersamaan dengan 686 M.(d) Batu Bersurat Karang Brahi (Jambi), bertarikh 614 Tahun Saka, bersamaan dengan 692 M.

Batu Bersurat Kedukan Bukit.Bahasa yang terdapat pada Batu Bersurat Kedukan Bukit tersebut ditulis dengan menggunakan huruf Palava, iaitu sejenis tulisan India Selatan Purba bagi penyebaran agama Hindu. Setelah ditransliterasikan ke huruf rumi tulisan tersebut adalah seperti yang berikut ini (dengan sedikit pengubahsuaian susunan dan bentuk, seperti c dibaca sy):

Svasti 
cricakavarsatita 605 ekadaci
cuklapaksa vulan vaicakha 
daputa
hyang nayik di samvau 
mangalap
siddhayatra
di saptami cuklapaksa
vulan jyestha dapunta 
hyang marlapas
dari minana Tamvar 
(Kamvar)
mamava yang vala dua laksa
ko dua ratus cara di 
samvau 
dangan jalan sarivu tlu 
ratus sapulu dua vanakna 
datang di matada (nau) 
sukhacitta
di pancami cuklapaksa 
vulan asada
laghu mudita datang 
marvuat vanua ... Crivijaya
jaya siddhayatra subhika ...
Daripada transliterasi ini jelas terlihat walaupun pernyataan yang ingin disampaikan itu berkenaan dengan Raja Sriwijaya yang menganuti fahaman Hindu tetapi pengaruh bahasa Melayu terhadap bahasa Sanskrit sudah demikian meluas.Jika kita bandingkan bahasa Melayu Kuno di atas dengan bahasa Melayu kini, kita akan mendapati perubahan pembentukan bunyi dan perkataan seperti yang berikut ini:
vulan = bulan
nayik = naik
samvau = sampau = sampan (maksudnya perahu yang besar) mangalap = mengambil (maksudnya mencari)
marlapas = berlepas
mamava = membawa
vala = bala = balatentera
laksa = (menyatakan jumlah yang tidak terkira banyaknya) dangan = dengan
sarivu = seribu
tlu = telu = tiga
sapuluh dua = sepuluh dua = dua belas
vanakna = banyaknya
sukhacitta = sukacita
marvuat = berbuat
vanua = benua = negeri
ko = ke

Jika dialihbahasakan ke dalam bahasa Melayu isi Batu
Bersurat Kedukan Bukit ini lebih kurang seperti yang berikut ini:

Selamat bahagia pada tahun saka 605 hari kesebelasdari bulan terang bulan waisaka daputa baginda naik perahu mencari rezeki pada hari ketujuh bulan terangbulan jyesta dapunta baginda berlepas dari muara Kampar membawa askar dua laksadua ratus orang di perahu yang berjalan seribu tiga ratus dua belas banyaknya datang di matada dengan suka citapada hari kelima bulan terang bulan asadadengan lega datangmembuat negeri ... Seriwijayayang berjaya, yang bahagia, yang makmur

Batu Bersurat Talang Tuwo.Kita perhatikan pula bahasa yang terdapat pada Batu Bersurat Talang Tuwo yang telah ditransliterasikan ini:

Svasti. 
cri cakavarsatita 606 dim 
dvitiya cuklapaksa vulan 
caitra. 
sana tatkalana parlak 
Criksetra ini. 
niparvuat parvan dapunta 
hyang Cri Yayanaca (-ga) 
ini pranidhanan dapunta 
hyang savanakna yang 
nitanam di sini. 
niyur pinang hanau 
rumviya dngan samicrana 
yang kayu nimakan 
vuahna. 
tathapi haur vuluh pattung 
ityevamadi.
punarapi yang varlak 
verkan dngan savad tlaga 
savanakna yang vualtku 
sucarita paravis 
prayojanakan punyana 
sarvvasatva sacaracara.
varopayana tmu sukha di 
asannakala di antara 
margga lai. 
tmu muah ya ahara dngan 
air niminumna.
savanakna vuatna huma 
parlak mancak muah ya 
manghidupi pacu prakara.
marhulun tuvi vrddhi muah 
ya jangam ya niknai 
savanakna yang 
upasargga.
pidana svapnavighna.
varang vuatana kathamapi.
anukula yang graha 
naksatra pravis diya. 
Nirvyadhi ajara 
kavuatanana.
tathapi savanakna yam 
khrtyana satyarjjava 
drdhabhakti muah ya dya.
yang mitrana tuvi janan ya 
kapata yang vivina mulang 
anukala bharyya muah ya. 
varamsthanana lagi curi 
ucca vadhana paradara di 
sana punarapi tmu ya 
kalyanamitra.
marvvangun vodhicitta 
dngan maitridhari di dang 
hyang ratnaraya jangan 
marsarak dngan dang 
hyang ratnaraya. 
tathapi nityakala tyaga 
marcila ksanti marvvangun 
viryya rajin tahu di 
samicrana cilpakala 
paravis.
samahitacinta.
tmu ya prajna smrti 
medhavi.
punarapi dhairyyamani 
mahasattva vajracarira.
anubamacakti.
jaya tathapi jatismara.
avikalendriya.
mancak rupa.
subjaga hasin halap.
ade yavakya vrahmasvara.
jadi laki.
svayambtu.
puna (ra) pi tmu ya 
cintamaninidhana tmu 
janmavacita. karmmavacita 
clecavacita 
avasana tmu ya anuttarabhisamyaksam 
vodhi.
Bahasa Melayu Kuno yang dapat kita kesan daripada batu bersurat di atas di antara lain ialah:
vulan = bulan
tatkalana = tatkalanya
nivarbuat = diperbuat
savanakna = sebanyaknya
nitanam = ditanam
niyur = nyiur
hanau = enau
rumvia = rumbia
dngan = dengan
nimakan = dimakan
vuahna = buahnya
tathapi = tetapi
haur = aur
vuluh = buluh
pattung = betung
tlaga = telaga
punyana = punyanya
tmu = temu, bertemu
margga = marga
sukha = suka
niminumna = diminumnya
savanakna = sebanyaknya, sebanyak-banyaknya
vuatna = buatnya
manghidupi = menghidupi
prakara = perkara
varang = barang
vuatana = buatannya
marvvangun = membangun

Harun Aminurrashid mengutip terjemahan Slametmuljana berkenaan dengan bahasa yang terdapat pada Batu Bersurat Talang Tuwo tersebut adalah seperti yang berikut ini:

Bahagia! Tahun Saka 606 pada hari kedua bulan terang caitra, itulah waktunya taman Sriksetra ini diperbuat, milik Dapunta Hyang Sri Jayanaga. Ini Pesan Dapunta Hyang: Semuanya yang ditanam di sini; nyiur, pinang, enau, rumbia dan lain-lain yang (berupa) pohon, dimakan buahnya, serta aur, buluh betung dan yang semacam itu. Demikian pula taman-taman lainnya dengan tebat telaga, semuanya yang kuperbuat, semua perbuatan baik, dimaksud untuk kebahagiaan semua makhluk yang bergerak dan tidak bergerak. Hendaklah daya upaya beliau yang sangat baik itu mendapat kesukaan di kemudian hari dengan jalan lain. Semoga beliau mendapatlah makanan dan air untuk minumnya. Semuanya yang dibuatnya; ladang, kebun luas, menghidupi binatang-binatang, ramai para abdi suburlah. Jauhkanlah beliau dari segala bencana, siksaan dan penyakit tidak dapat tidur. Bagaimanapun barang usahanya hendaknya berhasil baik, binatang-binatang lengkap semua, beliau dari sakit, dibuat awet muda. Dan lagi hendaklah semua yang disebut abdi setia baktilah mereka pada beliau. Yang menjadi sahabat beliau janganlah mereka itu menderhaka pada beliau; yang menjadi bini beliau hendaklah tetap setia sebagai isteri pada beliau. Di manapun beliau berada, janganlah dilakukan curi, curang, bunuh dan zina di situ. Dan lagi, hendaklah beliau bertemu dengan khalyanamitra, membangun bodhichita dengan maitri, menjadi pertapa pada dang hyang Ratnatraya, melainkan sentiasa teguh bersila dengan senang membangun tenaga, keuliten, pengetahuan tentang perbezaan semua sipakala dan pemusatan fikiran. Mudah-mudahan beliau memperoleh pengetahuan, ingatan dan kecerdasan dan lagi ketetapan mahasatwa badan manikam vajracarira yang sakti tanpa upama, kemenangan, dan lagi ingatan kepada kelahiran yang sudah lampau, indria lengkap, rupa penuh, kebahagiaan, kegembiraan, ketenangan, kata manis, suara Brahma, jadi lelaki kerana kekuatannya sendiri, hendaklah beliau memperoleh cintamaninidhara, memperoleh janmawacita, karmmawacita, akhirnya beliau mendapat anuttarabisamyaksambodhi.

Daripada terjemahan ini jelas pada kita bahawa bahasa Sanskrit yang tidak dapat diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dikekalkan dalam bahasa asalnya.

Batu Bersurat Kota Kapur.Pada Batu Bersurat Kota Kapur perkataan/bahasa Melayu telah lebih banyak ditemui dan unsur bahasa Sanskrit semakin berkurang. Beberapa perkataan bahasa Melayu Kuno sebahagian telah memperlihatkan irasnya dan sebahagian lagi kekal digunakan hingga kini, seperti: abai, aku, batu, banyak, benua, beri, buat, bulan, bunuh, datu, dengan, di dalam, dosanya, durhaka, gelar, hamba, jahat, jangan, kait, kasihan, kedatuan, keliwat, kita, lawan, maka, mati, merdeka, mula, orang, pahat, persumpahan, pulang, roga, sakit, suruh, tapik, tambal, tatkalanya, tetapi, tida, tuba, ujar, ulang, ulu, dan yang. Imbuhan awalan ialah: ni-, di-, mar-, par-, ka-. Imbuhan akhiran pula ialah: -i dan -an.

Batu Bersurat Karang Brahi.Bukti bertulis yang terdapat pada batu bersurat ini merupakan salah satu batu bersurat terpenting, namun tidak banyak maklumat yang diketahui dengan pasti tentang bahasa Melayu Kuno pada batu bersurat ini.Di samping batu bersurat yang telah dinyatakan di atas sebenarnya ada lagi batu bersurat yang agak penting diketahui, iaitu Batu Bersurat Pagar Ruyung (1356 M) di Sumatera Barat. Pada batu bersurat ini tertulis beberapa sajak Sanskrit dengan sedikit prosa Melayu Kuno dengan menggunakan huruf India dan satu lagi di Aceh yang dinamai Batu Nisan Minye Tujuh. Batu nisan ini bertarikh 1380 M dan ditulis dengan tulisan India, menggunakan bahasa Melayu, Sanskrit, dan Arab.

No comments:

Post a Comment