Sunday, June 24, 2012

SEMANTIK


Semantik - Faktor Perubahan Makna


1.0 PENDAHULUAN

1.1 Pengenalan

Semua bahasa bergantung kepada makna dalam perkataan dan ayat. Setiap bahasa merupakan satu sistem yang digunakan untuk menyampaikan makna melalui bunyi. Kajian makna dikenali sebagai bidang semantic, iaitu bidang yang telah begitu lama diabaikan oleh linguistik kerana persoalan makna banyak mendatangkan masalah jika tingkahlaku bahasa itu ditinjau dari sudut itu.
Makna tidak mungkin dapat dikaji secara formal atau secara terasing daripada konteks atau teks. Keadaan ini berlaku kerana ada makna yang tersurat dan tersirat. Ahli falsafah dan ahli bahasa lebih menitik beratkan tentang hubungan makna-makna perkataan. Persoalan ini nempaknya lebih mudah diterangkan dengan menggunakan rujukan.
Makna juga sebahagian besarnya ( atau keseluruhannya) adalah berkenaan hubungan antara bahasa dengan dunia bahasa. Dunia bahasa ini bermaksud konteks yang melayari satu-satu unsur linguistik itu dituturkan.

1.2 Objektif kajian

Tugasan ini disediakan dengan tujuan untuk menerangkan beberapa faktor yang menyebabkan perubahan makna dalam perkataan.

1.3 Kaedah Kajian

Dalam menyiapkan tugasan ini, penulis menggunakan kaedah kepustakaan.
Sumber rujukan utama adalah buku-buku yang berkaitan dengan tajuk kertas kerja. Di samping itu penulis juga merujuk seperti majalah, jurnal dan bahan dari internet sebagai bahan rujukan tambahan dalam menyiapkan tugasan ini.

1.4 Batasan Kajian

Untuk mengelakkan kertas kerja ini lari daripada tajuk penulis telah membataskan kajian dengan mengutarakan faktor-faktor yang menyebabkan perubahan sesuatu makna dalam bahasa Melayu sahaja.





1.5 Definisi Konsep

Perubahan makna merupakan salah satu fenomena bahasa yang selalu berlaku dalam mana-mana bahasa didunia ini. Oleh sebab sifat dinamis dan evolusinya, dan akibat terdedah kepada pelbagai fenomena seperti pertembungan dengan bahasa-bahasa lain, serta faktor-faktor social seperti tabu, kemasukan idea-idea baharu dan perkembangan ilmu baharu seperti sains dan teknologi, maka bahasa sentiasa menampilkan perubahan makna.
Menurut Ullmann (1957), menyenaraikan enam sebab perubahan makna; antaranya termasuklah sebab-sebab linguistik (bahasa), sejarah, social, psikologi, pengaruh luar, dan keperluan untuk kata baharu.
Sementara itu, Bloomfield (1992) pula menyenaraikan sembilan jenis perubahan yang berlaku dalam bahasa. Menurut beliau, perubahan makna dalam bahasa berlaku akibat daripada perluasan makna, penyempitan makna, metafora, metonimi, sinekdoksi, hiperbola, litotes, pejorasi, dan ameliorasi.
Menurut Stren ( 1965: 163) perubahan makna bagi suatu kata ialah “ apabila sesuatu kata digunakan untuk menyatakan sesuatu makna yang belum pernah dinyatakan lagi”

2.0 Faktor-faktor Perubahan Makna.

Makna merupakan satu unsur penting dalam mana-mana ujaran atau tulisan. Tanpa unsur ini, maka apa sahaja yang diujarkan atau yang dituliskan tidak akan memberi sebarang kefahaman kepada orang yang dilawan bercakap atau orang yang membaca sesuatu yang ditulis.
Dalam suatu bahasa, perubahan makna merupakan salah satu fenomena bahasa yang selalu berlaku dalam mana-mana bahasa didunia ini. Oleh sebab sifat dinamis dan evolusinya, dan akibat terdedah kepada pelbagai fenomena seperti perubahan disebabkan oleh;

2.1 Faktor perkembangan bahasa itu sendiri
2.2 Faktor tanggapan penutur
2.3 Faktor peluasan maksud
2.4 Faktor pembatasan atau penyempitan maksud
2.5 Faktor tujuan simbolik dan stilistik


2.1 Perubahan Kerana Perkembangan Bahasa itu Sendiri.

Makna kata berubah kerana perkembangan bahasa itu sendiri. Terdapat perkataan-perkataan yang mengalami perubahan dari segi makna dibandingkan dengan makna asal perkataan tersebut. Misalnya perkataan “belayar” pada suatu ketika dahulu digunakan untuk perahu yang ada layer sahaja, tetapi kini telah berubah makna kerana kapal sekarang tidak belayar tetapi menggunakan kuasa tenaga.
Demikian juga perkataan “ tangan”, pada asalnya durujuk kepada salah satu anggota badan. Tetapi, makan itu telah berubah mancakupi makna ‘menguruskan’, ‘ mengendalikan’, dalam ayat seperti “ Kita perlu berhati-hati ketika menangani kes ini”. Ada kalanya makna negatif berubah menjadi makna positif disebabkan penggunaan dalam bahasa. Sebagai contoh, kita sering menemukan ayat atau ujaran Gejala penukaran kod amat berleluasa di kalangan pengguna bahasa melayu”. Dalam contoh ini, perkataan ‘gejala’ bukan dinyatakan sebagai suatu unsur negatif, tetapi sebagai suatu kejadian. Perubahan seperti ini banyak berlaku dalam bahasa kerana sebab-sebab perubahan bahasa itu sendiri.
Selain daripada itu perkataan “ hayat” dahulunya perkataan ini dimaksudkan dengan “hidup” tetapi sekarang ia telah mengalami perubahan. Ini dapat dilihat dari contoh ujaran berikut, “ Ia menghayati sepenuhnya kandungan syarahan itu”. Dalam ayat ini perkataan “ menghayati” bukanlah membawa maksud “ menghidupkan” tetapi “ mengikuti dengan sepenuhnya”. Perkataan “hantu” dalam contoh “ Kejadian itu menghantui fikirannya”, “hantu” itu bukan lagi merupakan makhluk tetapi membawa makna “ mengganggu”.
Selain itu, disebabkan kemajuan sains dan teknologi banyak perkataan yang telah mengalami perubahan makna. Sebagai contoh, perkataan “taman”, dimana pada asalnya ia hanya digunakan untuk merujuk kepada ‘ kebun bunga’, tetapi maknanya telah berubah menjadi “ kawasan perumahan” , “ kawasan perindusterian”, dan “ kawasan alam semula jadi” seperti Taman Negara Bako. Demikian juga dengan perkataan “ datuk”, kini bukan sahaja digunakan untuk merujuk kepada “bapa kepada ayah seseorang” malah sebagai gelaran kehormat oleh raja-raja bagi orang-orang tertentu kerana jasa mereka.
Perkataan “ sahaya” berasal dari bahasa Sanskrit dan membawa maksud “abdi” dan “sahaya” itu dalam aspek penggunaan bahasa Melayu merujuk kepada “ hamba” dengan cara yang halus. Tetapi kini, “saya” ( daripada “sahaya”) digunakan sebagai kata ganti diri pertama.
Demikianlan perubahan berlaku kerana proses perkembangan bahasa itu sendiri dimana pengguna bahasa mengubah makna bahasa itu mengikut peredaran masa dan keadaan semasa.

2.2 Perubahan Kerana tanggapan penutur

Selain daripada perubahan disebabkan oleh perkembangan bahasa iru sendiri tanggapan penutur juga memainkan peranan atau penyebab kepada perubahan maksud sesuatu perkataan itu. Umpamanya perkataan “ abang”, yang asalnya ialah panggilan kepada saudara lelai yang lebih tua, tetapi sekarang ianya digunakan juga untuk memanggil orang lelaki yang lebih tua tanpa mengira saudara atau tidak. Disamping itu ada juga sesetengah orang menggunakan perkataan “abang” sebagai panggilan untuk suaminya.
Perkataan “saudara” pula pada asalnya dimaksudkan kepada “ saudara kandung” tetapi makna perkataan saudara telah berubah kepada semua orang yang mempunyai “ pertalian darah atau kekeluargaan”. Disamping itu ada juga pengguna atau penutur bahasa melayu cenderung menggunakan perkataan “saudara” dengan tanggapan yang lebih luas misalnya “ saudara sesame Islam”. Disini nyata, bahawa hubungan itu bukan lagi merupakan hubungan kerana pertalian darah tetapi juga pertalian agama. Daripada dua contoh di atas, tanggapan penutur terhadap sesauatu perkataan juga merupakan faktor kepada perubahan makna perkataan itu sendiri.

2.3 Perubahan Kerana Perluasan Maksud

Perluasan maksud berlaku apabila sesuatu perkataan yang mempunyai satu makna memiliki makna-makna yang lain. Perkataan “ saudara”, misalnya pada mulanya bermaksud orang yang sama ayah dan ibu. Kemudian maknanya diperluaskan meliputi orang yang ada hubungan kekeluargaan. Akhir sekali perkataan ini menjadi sebagai bentuk panggilan sebagai kata ganti nama diri orang kedua, terutamanya kepada orang laki-laki.
Selain itu, disebabkan kemajuan sains dan teknologi banyak perkataan yang telah mengalami perubahan makna. Sebagai contoh, perkataan “taman”, dimana pada asalnya ia hanya digunakan untuk merujuk kepada ‘ kebun bunga’, tetapi maknanya sekarang telah diperluaskan untuk mencakupi makna tambahan seperti “ kawasan perumahan” , “ kawasan perindusterian”, dan “ kawasan alam semula jadi” seperti Taman Hidupan Liar.
Selain daripada dua perkataan di atas, perkataan “semangat” juga mengelami perubahan kerana perluasan maksud. Pada asalnya makna perkataan “ semangat” ialah “jiwa” atau “roh”. Tetapi perkataan ini kemudianya diperluaskan maksudnya menjadi “ perasaan” misalnya “ semangat kemerdekaan”, semangat petriotisme” dan juga kepada “ kemahuan atau keinginan yang tinggi” seperti dalam contoh berikut, “Dia mempunyai semangat ingin berjaya dalam hidup”.


2.4 Perubahan kerana pembatasan atau penyempitan maksud

Makna sesuatu perkataan boleh juga dibataskan untuk tujuan-tujuan tertentu. Sebagai contoh perkataan “ sarjana”, pada mulanya perkataan ini digunakan untuk merujuk orang yang pandai atau bijak, seorang cendekiawan. Pada masa kini, perkataan ini lazimnya telah disempitkan atau dibataskan untuk merujuk kepada “ orang yang telah lulus ijazah pertama, seperti “ Sarjana Muda Sastera dan Sarjana Muda Ekonomi” atau selepas ijazah pertama, seperti “Sarjana Sastera dan Sarjana Ekonomi”.
Perkataan “pendeta” asalnya membawa makna “orang yang berilmu”, seperti “Pendeta Za’ba,” seorang tokoh bahasa. Maksud perkataan ini , mengikut Abdul Chaer (1995) telah di sempitkan untuk mencakupi makna “ guru agama Kristian”. Selain itu dalam bahasa Melayu, perkataan daging telah disempitkan makna untuk merujukkan kepada “ daging lembu” sahaja, tetapi bagi daging lain pula, disebut daging kambing, daging ayam atau daging arnab, sedangkan makna perkataan itu dalam kamus ialah “ isi pada manusia atau binatang antara kulit dan tulang” ( Kamus Dewan, 1994).
Timbulnya kepentingan membataskan maksud bagi sesuatu perkataan ini pada umumnya adal untuk menentukan istilah supaya penggunaannya khusus untuk bidang-bidang tertentu. Contohnya perkataan “ sendi” yang asalnya bermaksud “ tempat ruas tulang berhubung”. Dalam ilmu bahasa perkataan “ sendi” dijukan khusus kepada kata-kata yang berfungsi menghubungkan di antara perkataan dengan perkataan atau antara ayat dengan ayat.

2.5 Perubahan kerana tujuan simbolik dan stilistik

Perubahan makna kerana tujuan simbolik dan stilistik ini biasa kita lihat dalam hasil karya berbentuk sastera khususnya dalam puisi. Contohnya perkataan “kumbang” dan “bunga” selalu dikaitkan maknanya dengan makna yang tertentu seperti “ kumbang = lelaki “ dan “ bunga = perampuan”, bukan lagi ditujukan kepada nama sejenis kumbang dan nama sejenis tumbuhan. Selain daripada itu warna juga dijadikan sebagai simbolik untuk menerangkan sesuatu maksud contahnya, “merah” dimaksudkan dengan “ keberanian” , “hitam” dipadankan dengan “ kesedihan dan “ putih” adalah “ kesucian”.
Selain daripada itu unsur-unsur personafikasi juga menunjukkan perubahan makna yang seperti ini. Sebagai contoh “ daun melambai” dan “dada langit” ianya tidak membawa maksud yang daun boleh melakukan perbuatan “melambai” sebagaimana perlakuan manusia dan langit mempunyai dada. “ Daun melambai” dan “ dada langit” sebenarnya hanyalah kiasan atau perumpamaan kepada “ daun yang bergerak akibat tiupan angina” dan “ keluasan dan lapangnya langit apabila dipandang dari bumi”. Contoh -contoh seperti ini menunjukkan keindahan bahasa dan merupakan satu gaya penulisannya dapat menggambarkan sesauatu dengan indah dan menarik ( Raminah Sabran dan Rahim Syam, 1984: 290-4).

3.0 Kesimpulan

Perubahan makna merupakan salah satu fenomena bahasa yang selalu berlaku dalam mana-mana bahasa didunia ini. Oleh sebab sifat dinamis dan evolusinya, dan akibat terdedah kepada pelbagai fenomena seperti pertembungan dengan bahasa-bahasa lain, serta faktor-faktor social seperti tabu, kemasukan idea-idea baharu dan perkembangan ilmu baharu seperti sains dan teknologi, maka bahasa sentiasa menampilkan perubahan makna.
Dalam sesuatu bahasa, perubahan bukan hanya berlaku pada peringkat perbendaharaan kata, sistem pembentukan kata, sebutan dan struktur ayat sahaja bahkan perubahan itu meliputi juga bidang makna. Oleh itu daripada contoh – contoh yang diberikan di atas jelaslah bahawa beberapa perkataan mengalami perubahan dari segi makna dan perubahan itu disebabkan oleh faktor -faktor yang telah dibincangkan diatas

No comments:

Post a Comment